
IPOH – Kerajaan akan menyiasat dakwaan mengenai kewujudan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang didakwa mengikut ajaran dibawa fahaman New Age Movement (NAM).
Bahkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menegaskan pihaknya memberi perhatian mengenai isu tersebut dan akan mengambil langkah sewajarnya untuk menanganinya.
“Kita memang mempertahankan kesucian akidah umat Islam. Insya-allah kita akan teruskan dengan melakukan segalanya untuk memastikan kesucian dan kemulianan akidah umat Islam di Malaysia,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melakukan lawatan kerja ke pondok Darul Furqan di Tambun di sini bagi melihat perkembangan semasa berkaitan pelaksanaan Program Rintis Pendigitalan Institusi Pendidikan Islam Tahun 2026 di institusi tersebut.
Media semalam melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengadakan sesi pertemuan dan ‘tabayyun’ bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkaitan NAM.
Timbalan Menteri berkenaan didakwa mempunyai kaitan dengan penyebaran amalan perdukunan, sihir, azimat serta ajaran fahaman berkenaan.
Susulan itu, terdapat desakan dari pihak tertentu agar Marhamah meletakkan jawatannya dalam kerajaan.
Zulkifli bagaimanapun enggan mengulas mengenai desakan berkenaan ketika ditanya mengenainya oleh pemberita. – KOSMO! ONLINE
The post Kerajaan siasat dakwaan NGO ikuti fahaman New Age Movement appeared first on Kosmo Online.






