Joe Flizzow Tak Kisah Walau Dibayar RM1 Asalkan Dapat Buat Konsert Dengan Malique

Entertainment
20 Mar 2025 • 12:25 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Pada hujung bulan lalu, bekas anggota kumpulan Too Phat, Malique atau nama sebenarnya Cairel Adrin Ibrahim memberi bayangan seolah-olah akan kembali ke industri hiburan tanah air.

Segalanya bermula apabila Malique membuka akaun Instagram dengan nama @maliqueibrahimqarma.

Lebih menjadi perhatian, beberapa hantaran di media sosial Malique turut menampilkan beberapa artis seperti Zizan Razak dan Amir Jahari dilihat berada di studio penyanyi berkenaan, Qarma Studio.

Hantaran itu nyata mengujakan peminat setia Malique yang juga dikenali sebagai Mr General. Malah ramai mahu dia membuat ‘comeback’ bagi mengubati kerinduan mereka.

Joe Flizzow Sedia Buat Konsert Dengan Malique, Tak Kisah Dibayar RM1 Atau Tiada Bayaran

Terbaharu, rakan seperjuangan Malique yang juga merupakan bekas ahli kumpulan Too Phat, Joe Flizzow mendedahkan dia bersedia untuk berkolaborasi bersama Malique walaupun menerima bayaran yang rendah.

Walau bagaimanapun, Joe Flizzow atau nama sebenarnya Johan Ishak menjelaskan dia hanya menunggu kata putus daripada Malique untuk menghidupkan nostalqia kumpulan rap mereka, Too Phat seperti dahulu.

“Saya terbuka berkolaborasi bersamanya (Malique), walau dibayar RM1 pun saya akan lakukan malah kalau tiada bayaran juga saya tak kisah.

“Insya-Allah kita doakan, jika Malique mendengar apa saya katakan ini, terpulang kepada awak bro. Keputusan di tangan awak, saya sentiasa bersedia.

“Kalau saya yang kena bayar pun saya akan buat (kolaborasi),” katanya yang dipetik daripada Kosmo.

Banyak Dapat Tawaran Untuk Satu Pentas Dengan Malique

Kongsi Joe Flizzow, dia banyak mendapat tawaran untuk bersama satu pentas dengan Malique namun terpaksa akur kerana belum dapat berbuat sedemikian lagi.

“Saya dapat banyak tawaran persembahan bersama Malique. Kalau saya nak cakap jumlah tawaran diberikan, rasanya tinggi nilainya.

“Saya selalu cakap wang bukan segala-segalanya. Mungkin ada pihak penganjur menganggap bayaran tinggi boleh mempengaruhi keputusan saya untuk membuat persembahan dengan dia.

“Lebih-lebih lagi sejak dia membuka akaun Instagram, semakin banyak penganjur menawarkan tawaran persembahan untuk Too Phat,” terangnya lagi.

Anggap Kemunculan Malique Satu Perkara Istimewa, Masih Tidak Berhubung Dengan Malique

Tambah pelantun lagu Satu Malam Di Temasek itu, dia menganggap kemunculan Malique adalah satu perkara yang istimewa yang patut diraikan.

Walau bagaimanapun, dia menegaskan bahawa dia masih tidak berhubung dengan Malique walaupun rakan seperjuangannya itu dipercayai akan membuat kemunculan semula dan menggegarkan industri rap negara.

“Saya rasa itu satu perkara istimewa untuk dunia hip-hop kerana kita rindukan kehadiran dan suaranya.

“Memang kita dah lama nantikan dan raikan dia buat kemunculan semula. Dia pun sudah keluar dengan beberapa buah lagu dengan artis baru sebelum ini.

“Buat masa ini kami masih belum berhubung lagi. Saya pun tidak mahu bercerita lebih sangat kerana tidak mahu membuat sebarang andaian,” jelasnya.

Terdahulu, selepas pembubaran kumpulan Too Phat, Malique aktif bergerak solo dan tidak muncul di mana-mana platform media. Namun, dia terus aktif menghasilkan lagu dan bekerja di belakang tabir.

Malah, single terbaharu Malique bertajuk Sedih Hati yang menampilkan suara Allahyarham Mona Fandey menjadi bualan ramai apatah lagi dengan kemunculan istimewa puteri sulungnya, Inca Medina dalam video muzik lagu itu.

Source: