liza31/12/2025 - 10:57 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 31 Dis – Kerajaan Negeri Johor merekodkan kutipan hasil tertinggi dalam sejarah negeri bagi tahun 2025 berjumlah RM2.676 bilion, kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau berkata Johor mencatat prestasi ekonomi yang kukuh dan berdaya tahan pada 2025, walaupun berdepan cabaran ekonomi global.
“Kejayaan ini disokong oleh pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang terus menarik pelaburan dan menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
“Hasil ini menjadi asas kepada pelbagai inisiatif pembangunan sosial dan ekonomi yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Salah satu inisiatif utama ialah Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang merangkumi 23 program berfokuskan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata program tersebut memberi manfaat kepada ratusan ribu penerima termasuk anak yatim, pelajar, keluarga B40, warga emas, ibu tunggal dan golongan rentan.
“Prinsip utama pentadbiran adalah memastikan hasil negeri dikembalikan kepada rakyat, sejajar dengan misi meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat.
“Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Pemangku Sultan Johor atas segala nasihat, panduan dan tunjuk ajar Tunku kepada patik serta seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam memacu hala tuju dan pentadbiran negeri Johor.
“Terima kasih juga saya ucapkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, barisan Ahli Dewan Negeri (ADUN), para penjawat awam, jabatan-jabatan/agensi-agensi negeri dan persekutuan serta syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang telah memberikan kerjasama yang amat baik sepanjang tahun ini,” katanya.
Beliau mahu semua pihak terus berganding bahu memahami keperluan rakyat dan memastikan setiap usaha dapat meringankan beban serta meningkatkan kualiti hidup seluruh Bangsa Johor.
Sebelum ini, Johor menyasarkan kutipan hasil RM2 bilion pada tahun 2025 dan susulan kejayaan membanggakan itu, Onn Hafiz berharap kutipan hasil negeri dapat mencapai RM3 bilion tahun depan.
Menurutnya pertemuan dengan rakan strategik termasuk Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Invest Johor menunjukkan momentum pelaburan yang sangat positif. - DagangNews.com
