
JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri Johor akan melakukan pembenihan awan sekiranya terdapat mana-mana 17 empangan di negeri ini mengalami penyusutan sebagai persediaan berdepan fenomena El Nino pada Oktober dan November ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, pihaknya memantau paras empangan setiap hari dan setakat ini semuanya terkawal.
“Cuma kita sedang bersedia untuk menghadapi super El Nino yang dijangka Oktober hingga Disember. kita telah pun berhubung dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk persediaan pembenihan awan.
“Mungkin kali ini kita ‘request’ pembenihan awan lebih awal sebelum berlakunya kemarau. Pembenihan awan sudah dilakukan di beberapa tempat tetapi di Johor belum lagi setakat ini,”katanya.
Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas Program Libat Urus Perkukuh Imej Pemandu Teksi Sempena Tahun Melawat Johior 2026 di Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Johor (Jotic) di sini hari ini.
Mohamad Fazli berkata, sehingga hari ini semua paras air di semua empangan di Johor masih berada pada tahap stabil dan ada juga pada tahap berjaga-jaga namun pemantauan terus dilakukan dari masa ke semasa.
Katanya, selain pembenihan awan, beberapa inisiatif lagi akan dilakukan seperti mengepam air dari sumber air ke satu sumber air lain tetapi bukan dalam skala yang besar.- KOSMO! ONLINE
The post Johor lakukan pembenihan awan sedia hadapi El Nino appeared first on Kosmo Digital.






