
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan bahawa tangkapan seorang individu berhubung rasuah serta salah guna kuasa melibatkan jumlah kira-kira RM1.6 juta tidak melibatkan mana-mana Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), pegawai atau agensi di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Johor.
SPRM dalam satu kenyataan berkata, sebaliknya individu ditahan merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Lot Tapak Perumahan Generasi Ke-2 di Tanah Rancangan dekat Tenggaroh 2.
“Sehubungan itu, SPRM meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat khususnya membabitkan mana-mana individu atau pegawai kerajaan negeri berkenaan,” katanya hari ini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, SPRM komited untuk menjalankan siasatan secara profesional, bebas dan telus serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakukan rasuah atau salah guna kuasa.
Terdahulu, seorang pengerusi jawatankuasa perumahan sebuah badan berkanun persekutuan di Johor ditahan SPRM kerana disyaki meminta wang daripada kira-kira 400 pemohon lot tapak rumah membabitkan jumlah keseluruhan sekitar RM1.6 juta.
Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira pukul 7.30 malam semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Johor. – KOSMO! ONLINE
The post Tiada Exco, pegawai kerajaan Johor ditahan SPRM appeared first on Kosmo Online.





