liza15/10/2026 - 17:28 Kilang FICG di Johor Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 15 Okt – FIC Global Inc (FICG), kumpulan teknologi yang disenaraikan di Taiwan membuka kilang pembuatannya di Senai, Johor menerusi anak syarikatnya, PRO3C (Malaysia) Sdn Bhd bagi menyokong permintaan global yang semakin meningkat terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pusat data.
Kilang yang terletak di i-Park @ Senai Airport City itu adalah langkah peralihan operasi FICG di Asia Tenggara daripada peringkat perancangan kepada pengeluaran berskala penuh seterusnya memperluaskan lagi kehadirannya dalam rantaian bekalan teknologi dan pembuatan termaju global.
Menurut kenyataan syarikat, kilang berkenaan melepasi kelayakan pelanggan pada November 2025 sebelum memulakan pengeluaran pada penghujung tahun sama. Pengeluaran besar-besaran pula bermula pada suku pertama 2026.
Kilang itu kini mengendalikan lapan barisan teknologi pemasangan permukaan (SMT), dengan kapasiti pengeluaran terus ditingkatkan mengikut tempahan pelanggan dan permintaan pasaran.
Kemudahan berkenaan menyokong permintaan industri kecerdasan buatan, pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC), pusat data, semikonduktor dan sektor teknologi termaju lain.
PRO3C turut mengembangkan keupayaan dalam penghasilan transceiver optik Flip Chip berkelajuan 800G, 1.6T dan 3.2T, selain teknologi Co-Packaged Optics (CPO), Linear Pluggable Optics (LPO) dan Silicon Photonics (SiPh) bagi memenuhi keperluan infrastruktur AI serta penghantaran data berkelajuan tinggi.
Gabungkan operasi Johor dan Singapura
Pengerusi FICG, Leo Chien berkata pembukaan kilang itu merupakan sebahagian daripada strategi operasi rentas sempadan Johor–Singapura yang menggabungkan keupayaan pembuatan di Malaysia dengan rangkaian antarabangsa dan sumber strategik di Singapura.
Di bawah strategi itu, PRO3C di Johor akan memberi tumpuan kepada pembuatan termaju, pelaksanaan kejuruteraan, pengeluaran besar-besaran dan penghantaran produk.
Sementara itu, pusat inovasi dan rantaian bekalan yang dirancang di Singapura akan mengendalikan inovasi global, perolehan strategik, pengurusan rantaian bekalan serta hubungan dengan pelanggan antarabangsa.
Menurut beliau, pendekatan berkenaan bertujuan membentuk platform operasi serantau yang lebih pantas, fleksibel dan berdaya tahan, di samping menyokong pembangunan ekonomi tempatan serta mewujudkan peluang pekerjaan.
Kerjasama serantau dan peluang pekerjaan
Pada Persidangan ASEAN 2026 di Singapura pada Julai lalu, PRO3C menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan AME Elite Consortium Berhad, manakala FICG memeterai MoU berasingan dengan JTC Corporation.
United Overseas Bank (UOB) turut menyokong pengembangan itu melalui keupayaan perbankan rentas sempadan dan rangkaian serantaunya bagi membantu kemasukan pasaran serta pembangunan perniagaan di Malaysia dan Singapura.
Ketua Perkongsian Rangkaian dan Pemasaran Strategik, Penasihat Pelaburan Langsung Asing Kumpulan UOB, Jimmy Koh pula berkata pengembangan FICG mencerminkan kecenderungan syarikat menggunakan ASEAN sebagai platform bersepadu untuk pertumbuhan perniagaan.
FICG turut merancang pengambilan pekerja secara berperingkat mengikut perkembangan kemudahan dan peningkatan pengeluaran. Dalam jangka panjang, gabungan operasi kumpulan di Malaysia dan Singapura berpotensi menyokong tenaga kerja melebihi 1,000 orang, tertakluk kepada permintaan pasaran dan keperluan operasi. - DagangNews.com




