sarah14/10/2026 - 15:16 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Okt - Singularity Aerotech Asia Sdn Bhd (SAT.Asia) memperluas penggunaan teknologi dalam sektor pertanian menerusi kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi platform i-AGRI.
Syarikat itu turut bekerjasama dengan UNIMAS Holdings untuk membangunkan bakat dalam pertanian pintar, serta MarketBoy Marketing bagi membangunkan teknologi akuakultur berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Ketua Pegawai Eksekutif SAT.Asia, Hafeiz Hassan, berkata pendigitalan pertanian bukan sekadar memperkenalkan teknologi di peringkat ladang, malah memerlukan data yang boleh dimanfaatkan, tenaga kerja berkemahiran dan penyelesaian yang sesuai digunakan merentasi subsektor.
“Pendigitalan pertanian memerlukan pendekatan menyeluruh yang menggabungkan teknologi, data dan bakat bagi memastikan penyelesaian digital dapat dimanfaatkan secara berkesan oleh pemain industri pertanian,” katanya dalam kenyataan.
Platform i-AGRI yang dibangunkan dan dikendalikan MDEC dengan kerjasama SAT.Asia, di bawah penerajuannya bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Digital dan Kementerian Ekonomi, menghimpunkan data penggunaan teknologi dalam subsektor tanaman, ternakan, perikanan dan akuakultur.
Platform itu turut mengintegrasikan data cuaca, harga pasaran, perdagangan, satelit dan amaran bencana bagi mengenal pasti jurang penggunaan teknologi serta menyokong pembuatan keputusan berasaskan data.
Papan pemuka i-AGRI dijangka dibuka kepada pihak berkepentingan pada suku keempat 2026, manakala pelancaran lebih meluas kepada orang awam disasarkan seawal separuh kedua 2027.
Kerjasama SAT.Asia dengan UNIMAS Holdings menyediakan akses pendidikan kepada platform UrusTani untuk pelajar UNIMAS bagi tujuan pembelajaran dan penyelidikan, selain latihan penggunaan penderia Internet Benda (IoT), dron dan sistem automasi bagi melahirkan juruteknik pertanian pintar.
SAT.Asia turut bekerjasama dengan MarketBoy Marketing untuk membangunkan dan mengkomersialkan BlueCore OS AI, platform pengurusan ladang akuakultur berasaskan AI yang menggabungkan kepakaran teknologi dengan pengalaman dalam penternakan udang dan ikan serta perundingan akuakultur.
Naib Presiden Penerimagunaan Digital MDEC, Ir Wan Murdani Wan Mohamad berkata, kerjasama itu membantu menggabungkan data, teknologi dan keupayaan industri bagi memberikan gambaran lebih jelas mengenai perkembangan pendigitalan pertanian serta mengenal pasti keperluan sokongan yang lebih bersasar.
Inisiatif berkenaan bertujuan memperluas penggunaan teknologi digital dan AI dalam sektor pertanian, membangunkan bakat tempatan serta meningkatkan produktiviti dan daya tahan industri bagi menyokong keterjaminan makanan negara. - DagangNews.com




