Johor percepat siapkan 20 projek tebatan banjir bernilai RM35 juta - Onn Hafiz

LocalEnvironment
6 Nov 2026 • 5:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Johor percepat siapkan 20 projek tebatan banjir bernilai RM35 juta - Onn Hafiz Image from: Johor percepat siapkan 20 projek tebatan banjir bernilai RM35 juta - Onn Hafiz amree06/11/2026 - 17:20 ONN HAFIZ Ghazi (dua dari kiri) meninjau perkembangan projek tebatan banjir di Johor Bahru. - Foto kredit Facebook Onn Hafiz Ghazi Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Nov — Hujan lebat hingga 120 milimeter (mm) dalam tempoh hanya dua jam yang mencetuskan isu banjir kilat di 12 kawasan utama sekitar Johor Bahru mendorong kerajaan negeri itu mempergiat pelaksanaan 20 projek tebatan banjir bernilai RM35.36 juta.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, projek berkenaan melibatkan enam lembangan sungai serta jalan-jalan berkaitan, merangkumi kerja menaik taraf sistem perparitan, pembinaan kolam takungan, penambahan kapasiti pam dan pemasangan pintu kawalan banjir.

 

Menerusi hantaran dalam akaun sosial Facebook rasminya pada Jumaat, beliau berkata tindakan segera dan penyelesaian menyeluruh perlu diberi keutamaan bagi mengurangkan risiko kejadian banjir secara berulang, khususnya menjelang sepanjang Monsun Timur Laut.

 

"Antara langkah yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan pada ketika ini ialah kerja-kerja mendalamkan kolam takungan sedia ada serta pembinaan dua lagi kolam takungan baharu di lembangan Sungai Chat," jelas beliau lagi.

 

Onn Hafiz merujuk beberapa kawasan yang terjejas teruk akibat banjir kilat di daerah tersebut baru-baru ini termasuk sekitar Kampung Mohd Amin, Kampung Pasir, Jalan Yahya Awal dan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di pusat bandar raya sendiri.

 

Kerajaan negeri ujar beliau, turut bertindak menaik taraf sistem perparitan dan mengoperasikan pam banjir di Kampung Pasir serta Sungai Skudai bagi mempertingkatkan tahap keupayaan aliran dan pelepasan air ketika berlaku hujan lebat tanpa henti.

 

Johor banjir_Bernama
Gambar BERNAMA

 

Selain itu, kapasiti pam tambahan dan kerja menaikkan aras Jalan Mahmoodiah berhampiran HSA sedang dilaksanakan, selain pembinaan kolam takungan air serta naik taraf sistem perparitan utama di Jalan Ayer Molek dan Jalan Yahya Awal.

 

"Segala kerja menaik taraf sistem perparitan, pembetung dan pintu kawalan banjir di kawasan Sungai Sengkuang serta Jalan Ismail Sultan turut menjadi antara sebahagian daripada langkah mitigasi bencana alam berkenaan," jelas Onn Hafiz.

 

Pada masa sama katanya, beliau sudah pun mengarahkan semua agensi yang berkaitan supaya dapat mempercepat pelaksanaan projek dan memastikan kerja-kerja berkenaan disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

 

Projek tebatan banjir di Taman Merdeka, Kampung Pasir, Jalan Ismail Sultan dan Kampung Mohd Amin disasarkan siap menjelang akhir tahun ini, manakala projek lain akan diteruskan secara berperingkat.

 

Terdahulu, beliau meninjau rumah pam Sungai Chat dan tapak projek kolam takungan banjir Kampung Mohd Amin bagi meneliti perkembangan kerja bersama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved