
KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri sedang membina infrastruktur lebih beradaptasi menghadapi perubahan iklim melalui rancangan tebatan banjir jangka panjang yang sedang berjalan di seluruh negeri, selain melaksanakan projek segera bagi menangani bencana itu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberi jaminan komitmen kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu banjir sentiasa berada pada tahap tertinggi merentasi tempat dan masa.
“Kerajaan negeri tidak menjanjikan banjir hilang sekelip mata apatah lagi berdepan isu perubahan iklim yang semakin ekstrim. Banjir baru-baru ini adalah akibat taburan hujan luar biasa yang mengatasi purata taburan hujan normal.
“Insya-Allah, saya juga yakin dengan rancangan jangka panjang ini, kerajaan negeri sedang membina Selangor yang lebih beradaptasi menghadapi perubahan iklim.
“Buat yang terkesan pada masa ini, bantuan segera akan disediakan kerajaan negeri kepada mangsa banjir,” katanya melalui hantaran Threads, semalam.
Hujan lebat petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di Selangor dinaiki air dan dilanda banjir kilat, antaranya sekitar Puncak Alam, termasuk sekitar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Alam Suria dan Saujana Utama, Sungai Buloh.
Sebanyak sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Shah Alam, Klang dan Kuala Selangor bagi menempatkan 1,120 mangsa daripada 284 keluarga, setakat jam 11.30 malam tadi.
Amirudin berkata, Selangor menubuhkan pasukan petugas khas bersama Kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada 2024 untuk memecahkan budaya kerja silo mengatasi banjir.
“Hari ini sebanyak 105 projek rancangan tebatan banjir jangka panjang sedang bergerak dengan kos RM4.28 bilion, yang akan siap secara berperingkat.
“Sementara projek besar dibina, kerajaan Negeri tidak menunggu. Daripada 255 projek segera bernilai hampir RM70 juta di kawasan panas banjir kilat, 70 peratus sudah siap dan bakinya disasar selesai hujung tahun ini.
“Pada masa sama, Selangor dan Kuala Lumpur juga bergerak sekali dengan pelan lima langkah daripada menilai kapasiti Empangan Batu dan Klang Gate hingga mencari tapak kolam takungan baharu di hulu. Semua ini demi mengatasi banjir,” katanya.
The post Selangor laksana 105 projek tebatan banjir appeared first on Utusan Malaysia.






