Johor Port labur RM71 juta beli dua kren dermaga baharu dari syarikat China

LocalBusiness & Finance
19 Sep 2025 • 12:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Johor Port labur RM71 juta beli dua kren dermaga baharu dari syarikat China

image is not available

19/09/2025 - 12:45

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Sept – Johor Port Berhad, anak syarikat di bawah MMC Corporation Berhad memperkukuh keupayaan pengendalian kontenanya dengan ketibaan dua kren dermaga kontena jenis Post Panamax yang dibina oleh Shanghai Zhenhua Heavy Industries Co. Ltd (ZPMC).

Dua kren tersebut yang bernilai RM71.2 juta direka khusus untuk mengendalikan muatan kontena yang semakin meningkat di pelabuhan dengan kelajuan serta ketepatan lebih tinggi.

Dibina di kemudahan bertaraf dunia ZPMC di Pulau Changxing, Shanghai, ia boleh menguruskan kapal jenis Post Panamax dan dijangka meningkatkan kebolehpercayaan operasi serta mempercepat masa pusing ganti kapal yang berlabuh di Johor Port.

Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Md Derick Basir berkata, ketibaan dua kren dermaga baharu itu mencerminkan visi jangka panjang Johor Port untuk melabur dalam infrastruktur moden bagi menyokong keperluan perdagangan global yang sentiasa berubah.

“Kami juga akan memperoleh dua lagi kren dermaga baharu yang disasarkan untuk beroperasi pada tahun 2027.

“Baru-baru ini pula, kami telah membeli empat kren ‘level luffing’ baharu bernilai RM72.3 juta untuk dipasang di Terminal Konvensional kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengerusi Johor Port, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh pula berkata, pelaburan dalam kren dermaga dan kren ‘level luffing’ baharu itu membuktikan komitmen tidak berbelah bahagi Johor Port terhadap pihak-pihak berkepentingannya dan merupakan sebahagian daripada Pelan Peningkatan CAPEX 5 Tahun.

“Ia bertujuan untuk meningkatkan lagi kegiatan pelabuhan serta menjadi satu langkah penting dalam usaha pemodenan Johor Port agar dapat terus menyumbang kepada nilai yang lebih besar kepada para pelanggan kami.

“Secara tidak langsung akan mengukuhkan kedudukan Johor Port sebagai pelabuhan pelbagai guna gerbang selatan Malaysia,” katanya.

image is not available

Beliau berkata, penambahan kren moden itu juga akan menyokong inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dengan menyediakan infrastruktur kelas pertama yang meningkatkan kapasiti operasi pelabuhan.

“Ia akan meningkatkan kecekapan dalam pengendalian kargo serta menambah baik kebolehpercayaan perkhidmatan secara keseluruhan.

“Dengan memperkukuh keupayaan pelabuhan, pelaburan ini akan membantu menarik perniagaan dan pelaburan baru ke dalam JS-SEZ, merangsang aktiviti ekonomi serantau, serta mewujudkan banyak peluang baru dalam perdagangan dan pekerjaan,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden Persatuan Pengusaha Lori Kontena Malaysia, Dzulfariqh berkata, pihaknya amat menghargai usaha Johor Port untuk meningkatkan tahap produktiviti dengan melabur dalam peralatan pelabuhan yang baru.

“Kren-kren baharu ini dengan inisiatif pemodenan Johor Port akan dapat meningkatkan lagi produktiviti dermaga pelabuhan serta mengurangkan masa pusing ganti kapal dan lori.

“Ia dapat memberikan pengalaman pengendalian kargo yang lebih lancar dan cekap,” katanya.

Perolehan kren dermaga ini bermula pada 6 Mei 2024 dengan semua pencapaian utama disempurnakan termasuk pemasangan komponen utama dan ujian penerimaan kilang.

Penghantaran selesai pada 6 September 2025 dan kini kren sedang menjalani sesi ujian penerimaan tapak selama 45 hari sebelum ditauliahkan sepenuhnya untuk beroperasi di Terminal Kontena Johor Port.

image is not available

Sebagai persediaan ketibaan kren baharu, Johor Port telah memindahkan kren dermaga lama secara berperingkat mulai 25 Ogos 2025.

Walaupun kerja pemindahan dilakukan pada bulan paling sibuk, pelabuhan itu tetap berjaya mengendalikan 103,159 TEUs pada Ogos 2025 – jumlah tertinggi bulanan dalam sejarahnya, mengatasi rekod 102,324 TEUs pada Ogos 2024.

Sementara itu, Persatuan Perkapalan Malaysia Wilayah Selatan pula berkata, pencapaian jumlah muatan yang luar biasa oleh Johor Port pada bulan Ogos adalah mengagumkan memandangkan kerja-kerja pemindahan kren sedang dijalankan pada masa itu.

“Johor Port telah menguruskan operasi mereka dengan cekap semasa tempoh sibuk ini dan kami percaya bahawa ketibaan kren dermaga baru ini akan memperkukuh lagi keupayaan pengendalian kontena pelabuhan dan meningkatkan masa pusing ganti kapal,” katanya.

Penasihat Persatuan Perkapalan dan Pengangkutan Johor Port (JPSFA), Stephanie Lim pula berkata, pencapaian jumlah muatan yang luar biasa oleh Johor Port pada bulan Ogos adalah mengagumkan memandangkan cabaran berterusan yang timbul daripada gangguan rantaian bekalan global baru-baru ini yang telah menjejaskan banyak pelabuhan di seluruh dunia.

“Kami amat mengalu-alukan komitmen Johor Port kepada pelanggannya dengan pelaburan dalam peralatan pelabuhan baru ini untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada perniagaan dan industri yang bergantung kepada pelabuhan setiap hari.

“Kami yakin Johor Port akan terus mengekalkan piawaian perkhidmatan yang tinggi untuk semua pengguna pelabuhannya,” katanya.

Dengan ketibaan dua kren dermaga baharu dan pemindahan unit lama, Johor Port kini mengekalkan rangkaian sembilan kren dermaga. Langkah ini memastikan pelabuhan kekal dilengkapi dengan baik untuk memberi perkhidmatan kepada pelbagai jenis kapal serta menyokong pertumbuhan perdagangan.

Pelaburan dalam infrastruktur dan peralatan bertaraf dunia ini sekali lagi menandakan usaha Johor Port meningkatkan kapasiti, kebolehpercayaan dan kecemerlangan operasi demi menyokong pertumbuhan industri maritim dan logistik negara.- DagangNews.com

standard