Johor rekod pelaburan RM59.4 bilion

LocalBusiness & Finance
17 Sep 2026 • 3:39 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Johor rekod pelaburan RM59.4 bilion

JOHOR BAHRU: Johor berada di landasan tepat untuk merekodkan sasaran RM100 bilion setelah menerima pelaburan berjumlah RM59.4 bilion, setakat separuh pertama, tahun ini.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, pelaburan utama yang diterima itu membabitkan sektor eksport antaranya pembuatan, elektrik dan elektronik, mesin serta pembuatan.

Katanya, pelan Johor-Singapura Zon Ekonomi khas (JS-SEZ) antara faktor utama merealisasikan rekod pelaburan yang diterima di negeri ini.

“Ketika ini tumpuan adalah kepada pelaksanaan, ini kerana biasanya angka pelaburan yang direkodkan itu memerlukan tempoh sehingga tiga tahun untuk direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Cek Cura Sumbangan Naik Taraf Klinik Kesihatan Di Dalam Parlimen Johor Bahru berjumlah RM169,000 di Medan Niaga Kampung Melayu Majidee, di sini hari ini.

Menurut Akmal Nasrullah, Johor mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) daripada RM158.3 bilion pada 2024 kepada RM170.9 bilion pada 2025, antara yang tertinggi direkodkan tahun lalu.

Tambahnya, prestasi ekonomi Johor kekal kukuh dengan merekodkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 8 peratus tahun lalu, berbanding kadar pertumbuhan nasional pada 5.2 peratus.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, Klinik Kesihatan Majidee yang baharu dengan kos sehingga RM80 juta dan dijangka dapat disiapkan dalam tempoh lima tahun.

Katanya, cadangan pembinaan klinik berkenaan sudah diperakukan di peringkat Kementerian Ekonomi sebelum diangkat untuk pertimbangan Kementerian Kewangan menerusi Belanjawan akan datang.

Jelasnya, lokasi yang dipersetujui adalah tanah milik Kementerian Kesihatan (KKM) di kawasan antara Taman Suria, Majidee Park, Kebun Teh dan Kampung Kurnia.

Klinik baharu itu dicadangkan sebagai Klinik Kesihatan Kelas Dua bagi memenuhi keperluan penduduk susulan kepadatan demografi di kawasan Johor Bahru.-UTUSAN

The post Johor rekod pelaburan RM59.4 bilion appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved