Johor tidak akan korbankan kebajikan rakyat semata-mata mahu raih banyak pelaburan pusat data, tegas Onn Hafiz

LocalBusiness & Finance
27 Nov 2026 • 11:55 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Johor tidak akan korbankan kebajikan rakyat semata-mata mahu raih banyak pelaburan pusat data, tegas Onn Hafiz Image from: Johor tidak akan korbankan kebajikan rakyat semata-mata mahu raih banyak pelaburan pusat data, tegas Onn Hafiz amree27/11/2026 - 11:55 PANORAMA kawasan pembangunan pusat data di Johor - Foto kredit Ibrahim Technopolis Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Nov — Kerajaan Johor tidak akan menggadaikan kebajikan rakyat demi menarik banyak pelaburan pusat data (DC), dengan setiap permohonan pembangunan sektor itu perlu melepasi penilaian ketat berkaitan bekalan air, tenaga dan kelestarian alam sekitar.

 

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan, kerajaan negeri berkenaan turut tidak sesekali akan berkompromi dalam aspek keselamatan bekalan air dan tenaga serta isu perlindungan alam sekitar meskipun Johor terus menjadi tumpuan pelabur projek DC dari seluruh dunia.

 

Tambah beliau lagi, kerajaan negeri tersebut turut sudah mengambil langkah awal dengan menubuhkan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Pusat Data Johor pada April 2024, iaitu setahun sebelum penubuhan Pasukan Petugas Pusat Data di peringkat Persekutuan.

 

"Jawatankuasa tersebut bertanggungjawab dalam menjalankan pelbagai penilaian secara menyeluruh terhadap keperluan air dan elektrik, penggunaan teknologi hijau serta kapasiti infrastruktur dengan kerjasama beberapa agensi teknikal berkaitan," kata beliau lagi.

 

Onn Hafiz menyatakan demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Iskandar Puteri, sambil menegaskan bahawa pelaburan tidak boleh diterima tanpa kawalan dan pematuhan terhadap keperluan teknikal.

 

Antara agensi terlibat dalam jawatankuasa berkenaan ialah Badan Kawal Selia Air Johor, Ranhill SAJ, Johor Special Water dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), bagi memastikan setiap cadangan pembangunan DC dinilai teliti sebelum dikemukakan untuk kebenaran merancang.

 

Onn Hafiz Ghazi_Bernama

 

Beliau turut memaklumkan bahawa bekalan air yang diluluskan pihak berkuasa kepada sejumlah 19 buah DC yang kini sudah beroperasi di seluruh Johor hanya mewakili kira-kira 1.05% daripada keseluruhan pengeluaran air terawat negeri berkenaan.

 

Dalam perkembangan berasingan, Onn Hafiz menggesa Kerajaan Persekutuan supaya mempercepatkan pelancaran pelan induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang sebelum ini pernah dijadualkan pada Mac 2026 namun kemudian ditunda.

 

"Dokumen pelan induk berkenaan sebenarnya sudah disiapkan seawal Mac lalu, justeru kerajaan negeri berharap agar pelancarannya tidak ditangguhkan dengan lebih lama lagi," kata beliau yang juga ADUN Machap pada persidangan tersebut.

 

Ujar beliau, kelewatan berkenaan perlu dielakkan memandangkan persaingan ekonomi global semakin sengit dan Johor perlu mengekalkan momentum untuk merebut banyak peluang pelaburan yang berpotensi terutama dari luar negara.

 

Jelas Onn Hafiz, pelaksanaan pelan induk JS-SEZ penting bagi menyokong hala tuju pembangunan ekonomi negeri serta memastikan peluang pelaburan yang tersedia dapat dimanfaatkan dalam persekitaran ekonomi serantau yang semakin kompetitif. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved