Swift Energy raih kontrak RM44.21 juta bekal peralatan untuk projek minyak dan gas, pusat data

LocalBusiness & Finance
27 Nov 2026 • 4:05 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Swift Energy raih kontrak RM44.21 juta bekal peralatan untuk projek minyak dan gas, pusat data Image from: Swift Energy raih kontrak RM44.21 juta bekal peralatan untuk projek minyak dan gas, pusat data hamden27/11/2026 - 16:05 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Nov – Swift Energy Technology Bhd (SET) menerusi anak-anak syarikatnya memperoleh beberapa pesanan pembelian bernilai keseluruhan RM44.21 juta, merangkumi pembekalan peralatan elektrik untuk pusat data serta sistem sokongan bagi projek minyak dan gas di Malaysia.

 

Kontrak berkenaan melibatkan empat pelanggan iaitu Cummins Sales and Service Sdn Bhd, OceanMight Sdn Bhd, Johnson Pump (M) Sdn Bhd dan Dialog E & C Sdn Bhd.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, SET berkata anak syarikat milik penuhnya, Swift Energy Sdn Bhd dan Swift Energy Oil & Gas Sdn Bhd, menerima pesanan pembelian berkenaan dengan penghantaran dijadualkan antara suku pertama hingga suku ketiga 2027.

 

Menerusi Swift Energy Sdn Bhd, kumpulan memperoleh kontrak daripada Cummins Sales and Service Sdn Bhd untuk membekalkan 119 set Perintang Pembumian Neutral Cressall 11kV bagi sebuah pusat data di Malaysia.

 

Penghantaran peralatan itu dijangka dilaksanakan antara suku kedua hingga suku ketiga 2027.

 

Sementara itu, Swift Energy Oil & Gas Sdn Bhd memperoleh tiga kontrak berkaitan projek minyak dan gas.

 

Kontrak pertama daripada OceanMight Sdn Bhd membabitkan pembekalan sistem kuasa solar kalis letupan, penjana diesel dan sistem bantuan navigasi bagi Projek Pelantar Kepala Telaga Luar Pesisir Sarawak, dengan penghantaran dijangka antara suku kedua hingga suku ketiga 2027.

 

Anak syarikat sama turut memperoleh pesanan daripada Johnson Pump (M) Sdn Bhd untuk membekalkan Kabin Kawalan bagi Modul Suntikan Air Mudah Alih (PWIM) untuk Projek Bayan Redevelopment Fasa 3.

 

Penghantaran kontrak berkenaan dijadualkan pada suku pertama 2027.

 

Selain itu, kontrak daripada Dialog E & C Sdn Bhd membabitkan pembekalan Papan Agihan Bekalan Kuasa Tanpa Gangguan Arus Terus (DC UPS) kalis letupan untuk Pelantar Kepala Telaga Fatimah, dengan penghantaran dijangka pada suku kedua 2027.

 

SET berkata kontrak-kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2027.

 

Bagaimanapun, penerimaan kontrak itu tidak memberi sebarang kesan terhadap modal saham dan struktur pegangan saham syarikat.

 

Dari segi risiko, kontrak berkenaan tidak boleh diperbaharui dan risiko berkaitan adalah risiko perniagaan biasa. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved