
KUCHING: Program Jerayawara “Jom Ke Sarawak” siri pertama anjuran Tourism Malaysia di Kota Bharu, Kelantan dan Pulau Pinang, Mei lepas, berjaya meraih potensi nilai jualan melebihi RM500,000.
Timbalan Ketua Pengarah Perancangan Tourism Malaysia Iskandar Mirza Mohd Yusof berkata kejayaan itu telah mendorong pihaknya untuk meneruskan program berkenaan di Sarawak bagi mempromosikan produk dan pakej terkini di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
“Objektif program ini adalah untuk mewujudkan jalinan rangkaian bagi penggiat industri dari tiga negeri di Pantai Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) dengan Sarawak,“ katanya ketika berucap di Program Jerayawara Bersama Penggiat Industri Pantai Timur, di sini, hari ini.
Katanya program itu merupakan platform terbaik bagi menjalinkan kerjasama dan perbincangan perniagaan dalam usaha merancakkan kembali aktiviti pelancongan di negeri-negeri terlibat.
“Inisiatif Tourism Malaysia untuk menganjurkan sesi perniagaan ke perniagaan (B2B) memberi ruang untuk berbincang secara terus dalam membangunkan pakej-pakej baharu pelancongan,“ tambahnya. -Bernama



