PENGARAH kejurulatihan perseorangan negara, Kenneth Jonassen menegaskan pintu sentiasa terbuka buat Ng Tze Yong untuk kembali menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM), biarpun pemain itu telah memutuskan untuk bergerak sebagai pemain profesional.
Jonassen berkata, keputusan itu dibuat hasil beberapa siri perbincangan secara terbuka dan jujur antara kedua-dua pihak, selain disifatkan sebagai penyelesaian terbaik untuk semua yang terlibat.
“Saya sentiasa mengamalkan dasar pintu terbuka. Jika dia memutuskan untuk kembali, dia tahu dia sentiasa dialu-alukan di sini,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Jumaat.
Menurutnya, bukan mudah untuk melepaskan pemain yang memiliki bakat semula jadi dan potensi besar seperti Tze Yong, lebih-lebih lagi beliau sudah lama menantikan peluang untuk bekerjasama rapat dengan pemain berusia 26 tahun itu sejak menyertai BAM pada 2024.
“Daripada sudut peribadi, memang sukar untuk kehilangan seorang pemain yang mempunyai kualiti, potensi dan bakat semula jadi seperti Tze Yong. Dia sememangnya seorang pemain badminton yang sangat berbakat,” katanya.
Bagaimanapun, Jonassen yakin Tze Yong masih mampu menghidupkan semula kariernya sekiranya berjaya pulih sepenuhnya daripada aspek fizikal, selain kembali memiliki semangat dan keazaman untuk bersaing di peringkat tertinggi.
“Saya benar-benar percaya jika dia dapat memulihkan keadaan fizikal dan tahap kecergasannya, masa depannya dalam badminton masih sangat cerah,” katanya.
Terdahulu, BAM dan pemain perseorangan lelaki negara itu mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kerjasama mereka yang berkuat kuasa pada 30 Jun. - Bernama



