PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, memulakan fasa baharu dalam karier profesionalnya dengan memilih untuk berguru di bawah bimbingan pemain profesional, Soong Joo Ven, selepas meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Tze Yong berkata, antara sebab langkah itu diambil adalah bagi membolehkan beliau memberi tumpuan sepenuhnya kepada proses pemulihan yang masih berada pada tahap intensiti latihan sekitar 40 hingga 50 peratus ketika ini.
Pemain berusia 26 tahun itu berkata, beliau kini lebih bersikap realistik dan tidak mahu terburu-buru tanpa mengendahkan amaran fizikal kerana terdapat perbezaan besar antara kembali menyertai kejohanan dengan kembali ke tahap prestasi sebenar.
“Kalau boleh pilih, saya memang mahu secepat mungkin. Namun, saya perlu melihat daya tahan badan saya juga. Saya tidak boleh mengabaikan amaran fizikal badan. Saya perlu menerimanya dan meneruskan latihan, dan ia memerlukan masa.
“Untuk latihan, saya memilih Joo Ven sebagai jurulatih,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini pada Jumaat.
Mengenai cabaran bergerak secara profesional yang memerlukan kos tinggi, terutama bagi proses pemulihan, Tze Yong berkata, beliau kekal positif memandangkan proses itu sedang berjalan mengikut perancangan yang ditetapkan.
Beliau turut menyifatkan keputusannya meninggalkan BAM sebagai jalan terbaik untuk kariernya pada tahap ini selepas perbincangan secara harmoni dilakukan dengan badan induk itu.
Biarpun memilih haluan sendiri, Tze Yong mengakui sukar melupakan jasa BAM yang telah membentuk dirinya sejak di peringkat remaja.
Ditanya mengenai kemungkinan menjalani latihan bersama pemain profesional utama negara, Lee Zii Jia, beliau mengakui tahap fizikalnya ketika ini belum membolehkan beliau menjadi rakan sepelatih yang setanding.
Semalam, BAM dalam satu kenyataan rasmi mengumumkan badan induk itu dan Tze Yong mencapai persetujuan bersama untuk berpisah secara baik, berkuat kuasa pada 30 Jun ini.
Pemain berasal dari Johor itu pernah mencapai ranking ke-14 dunia pada November 2023 dan mencipta beberapa kejayaan membanggakan bersama skuad kebangsaan, termasuk memenangi pingat perak perseorangan lelaki serta pingat emas acara berpasukan campuran pada Sukan Komanwel 2022.
Beliau turut memenangi pingat emas pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022 serta pingat gangsa pada Piala Sudirman 2021 dan Piala Sudirman 2023.
Bagaimanapun, perkembangan kariernya dalam beberapa tahun kebelakangan ini terjejas akibat beberapa siri kecederaan, termasuk kecederaan belakang pada 2024 dan kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) pada 2025 yang kedua-duanya memerlukan pembedahan serta tempoh pemulihan yang panjang. - Bernama





