Disney akhirnya akan menerima satu lagi CEO baharu apabila Bob Iger, CEO sementara melepaskan jawatannya pada bulan Mac 2026 ini. Beliau akan diganti oleh Josh D’Amaro, seorang lagi veteran syarikat tersebut, yang kini memegang jawatan pengerusi bahagian Disney Experiences.
Bob Iger mengambil-alih daripada CEO sebelumnya, Bob Chapek yang memegang jawatan tersebut dari tahun 2020 sehingga 2022. Iger mengambil-alih jawatan tersebut semula untuk sementara, sambil mencari pengganti baru, dan dengan pengumuman ini, pengganti tersebut nampaknya sudah ditemui.

Josh D’Amaro merupakan seorang veteran Disney untuk 28 tahun, dan bertanggungjawab untuk bahagian Disney Experiences yang terdiri daripada taman tema, bisnes kapal persiaran, studio pembangunan permainan video dan juga produk-produk pengguna yang lain.
Disney Experiences merupakan bahagian perniagaan terbesar di Disney, menjana pendapatan sebanyak $36 bilion pada tahun lepas, dan bertanggungjawab untuk kira-kira 165 ribu pekerja di seluruh dunia.
Dalam pada itu, The Walt Disney Company juga melantik Dana Walden, Pengerusi Bersama Disney Entertainment sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Kreatif di The Walt Disney Company. Beliau akan melapor terus ke Josh D’Amaro dan adalah bertanggungjawab untuk penghasilan naratif dan kreativiti menyeluruh di syarikat tersebut. Sama seperti Josh, lantikan ini akan berkuatkuasa pada 18 Mac 2026.




