JPJ: Anggota JPJ Potong "Double Line", Akhirnya Digantung Tugas

LocalPolitics
10 Jul 2025 • 4:30 PM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Satu klip video yang memaparkan sebuah kenderaan milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memotong garisan kembar ketika melalui jalan Simpang Pulai, Perak, menjadi bualan hangat di media sosial.

Kejadian itu dirakam kamera papan pemuka (dashcam) orang awam sebelum dimuat naik dan tular di media sosial.

Klip video itu menunjukkan anggota JPJ berkenaan memotong sebuah lori di garisan kembar namun pemandu dari arah bertentangan sempat mengelak daripada terlanggar kenderaan JPJ tersebut.

image is not available

Susulan itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan yang dikenakan termasuk pengeluaran notis saman kepada anggota yang memandu atas kesalahan memotong di garisan berkembar.

"Tindakan lain adalah larangan memandu kenderaan jabatan dan arahan menggantung tugas serta menempatkan anggota yang terlibat ke jawatan kumpulan di Ibu Pejabat JPJ sehingga siasatan selesai.

“Pihak JPJ memandang serius kejadian itu dan tindakan tegas secara serta-merta dikeluarkan kepada anggota JPJ terlibat,” katanya dalam kenyataan.

Tegasnya, JPJ tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengguna jalan raya termasuk anggota serta kakitangan jabatan ini yang melakukan kesalahan lalu lintas.

"JPJ menyeru kepada orang awam untuk melaporkan aduan secara terus jika terdapat mana-mana pengguna yang tidak mematuhi peraturan jalan raya dengan menerusi aplikasi MyJPJ e-aduan@jpj atau emel aduantrafik@jpj.gov.my berserta butiran lengkap,” ujarnya.

image is not available

Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen mengecam tindakan anggota JPJ yang memandu secara berbahaya dan berharap dia turut dikenakan hukuman gantung lesen seperti mana yang dikenakan ke atas pemandu bas dan lori.