PASIR GUDANG - Sebanyak 2,393 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas pelbagai kesalahan dalam Operasi 1 Johor di Jalan Besar di sini pada Rabu.
Pengarahnya, Zulkarnain Yasin berkata, dalam operasi itu sebanyak 8,932 kenderaan diperiksa dan saman dikeluarkan terhadap pemandu yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kesalahan tertinggi yang direkodkan ialah tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) sebanyak 572 kes diikuti Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh sebanyak 523 kes dan tiada perlindungan insurans sebanyak 506 kes.
“Turut dikesan ialah kesalahan ubah suai kenderaan sebanyak 135 kes; tiada Lesen Kenderaan Barangan (GDL) (56), CDL tamat tempoh (33), GDL tamat tempoh (10), Disk Puspakom tamat tempoh (20) dan lain-lain kesalahan sebanyak 132 kes,” katanya.
Zulkarnain berkata, bagi kesalahan teknikal pula, kesalahan nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikuti spesifikasi mencatatkan jumlah tertinggi dengan 357 kes diikuti lain-lain kesalahan 418 kes dan tayar tidak mengikuti spesifikasi 35 kes.
Dalam perkembangan sama, Zulkarnain berkata, sebanyak 83 kenderaan mewah telah disita menerusi Ops Luxury yang dijalankan sejak awal tahun ini.
Katanya, semua kenderaan terbabit disita selepas didapati tidak mempunyai cukai jalan dan perlindungan insurans.
Operasi berkenaan melibatkan seramai 254 anggota daripada pelbagai agensi penguat kuasa dan keselamatan, bermula jam 4.30 petang hingga 7 malam.






