
Kota Kinabalu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah dan Sarawak akan terus memperkukuh penguatkuasaan bersama rentas sempadan dengan menyasarkan dua operasi OPS Rentas Sempadan setiap tahun bagi meningkatkan keselamatan jalan raya serta memastikan pematuhan peraturan pengangkutan di laluan yang menghubungkan kedua-dua negeri.
Pengarah JPJ Sabah Datuk Mohd Harris Ali berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada pendekatan strategik penguatkuasaan bagi meliputi kawasan yang mungkin tidak dapat dicapai menerusi operasi penguatkuasaan rutin khususnya di sepanjang rangkaian jalan raya yang luas menghubungkan Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata operasi terbaharu selama dua hari pada 20 dan 21 Nov membabitkan anggota penguat kuasa dari kedua-dua negeri yang bergerak dari Kuching ke Kota Kinabalu, dengan tumpuan kepada kenderaan perdagangan dan persendirian.
“Kita mahu memperkukuh integriti penguatkuasaan menerusi strategi rentas sempadan ini kerana terdapat kawasan di sepanjang laluan penghubung yang mungkin tidak diliputi operasi penguatkuasaan biasa kita,” katanya pada sidang media di sini, Sabtu.
Operasi itu membabitkan 60 anggota penguat kuasa, terdiri daripada 40 pegawai JPJ Sabah dan 20 pegawai JPJ Sarawak, yang menjalankan pemeriksaan bagi memastikan pemandu memiliki lesen memandu dan lesen kompeten yang sah, kenderaan mematuhi syarat permit, diselenggara dengan baik serta tidak membawa muatan berlebihan.
Sebanyak 438 kenderaan diperiksa, dengan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap 84 kenderaan, menghasilkan 174 notis saman JPJ2 dan 45 notis lain dikeluarkan, manakala sebuah kenderaan disita.
Lori yang disita itu dipandu warga asing yang didapati tidak memiliki lesen memandu, Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL) serta lesen kebangsaan yang diperlukan dan JPJ menegaskan tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap kesalahan berkenaan.
Antara kesalahan yang direkodkan ialah 40 kes cukai jalan tamat tempoh, 24 kes lesen memandu tamat tempoh dan 34 kes tiada perlindungan insurans yang sah.
Beliau berkata pemeriksaan turut meliputi warga asing yang mengendalikan kenderaan persendirian dan motosikal, dengan tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya sebarang pelanggaran dikesan.
Harris berkata operasi terbaharu itu merupakan siri kedua OPS Rentas Sempadan tahun ini, selepas operasi pertama pada April lalu apabila anggota penguat kuasa JPJ Sabah memasuki Sarawak untuk menjalankan pemeriksaan, dengan liputan operasi ketika itu sehingga ke Miri.
Katanya, operasi November itu memperluas liputan penguatkuasaan bersama dari Kuching hingga ke Kota Kinabalu manakala kedua-dua jabatan sedang mempertimbangkan peluasan operasi akan datang dengan membabitkan unit penguatkuasaan motosikal masing-masing.
“Kita sedang meneliti kemungkinan memperluas liputan termasuk menerusi unit penguatkuasaan motosikal kita,” katanya.
Pihak berkuasa turut memaklumkan kira-kira 50 saman dikeluarkan sepanjang operasi di Sarawak, dari Kuching menuju ke Sabah, berbanding 174 notis saman JPJ2 yang direkodkan sepanjang keseluruhan operasi.
Harris berkata jumlah kesalahan yang lebih tinggi direkodkan di Sabah sebahagiannya disebabkan aktiviti penguatkuasaan tertumpu di kawasan yang lebih sibuk pada hari kedua, namun angka itu bukan perbandingan langsung tahap pematuhan keseluruhan antara kedua-dua negeri.
Beliau menggesa orang ramai membantu jabatan itu dengan melaporkan kesalahan lalu lintas menerusi platform MyJPJ serta memberikan maklumat berkaitan dan bukti bergambar bagi memudahkan siasatan.
“Kita tidak mungkin berada di semua tempat pada setiap masa. Oleh itu, kita mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat dan bukti bagi membantu kita mengenal pasti kesalahan serta mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Pengarah JPJ Sarawak Norizan Jili berkata operasi bersama itu penting bukan sahaja untuk melindungi pengguna jalan raya, malah memperkukuh kerjasama dan hubungan antara kedua-dua negeri.
“Walaupun kita berasal dari negeri berbeza, kita satu Borneo dan saya berharap inisiatif ini dapat diteruskan dari tahun ke tahun,” katanya.





