
GUA MUSANG: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menahan 27 pendatang tanpa izin menerusi operasi bersepadu bersama-sama polis di Stesen Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan Mentara di sini pada Isnin dan Selasa lepas.
JIM Kelantan memaklumkan kesemua mereka ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, hasil pemeriksaan terhadap 136 individu dalam operasi berkenaan.
“JIM turut menyita dua kenderaan untuk tindakan lanjut. Operasi ini dilaksanakan bagi mempergiat penguatkuasaan undang-undang serta membanteras kehadiran pendatang tanpa izin di Kelantan,” menurut kenyataan itu.
JIM Kelantan turut menyatakan operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan bagi mengekang kegiatan yang melanggar peraturan sedia ada.






