KLANG - Operasi berskala besar digerakkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di seluruh negeri bagi menangani isu pemandu warga asing.
Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, pihaknya sedia maklum berhubung kehadiran warga asing menggunakan kenderaan tanpa lesen sah antaranya di kawasan ‘panas’ seperti Klang, Selayang, Ampang, Subang Jaya dan Puchong.
Menurutnya, siasatan bukan sahaja pemandu atau penunggang warga asing, tetapi pemilik juga akan dikenakan tindakan.
"Jadi, JPJ Selangor memang akan terus mengadakan operasi ini secara berterusan, bukan bermusim. Saya tegaskan bahawa kita akan membuat operasi ini di setiap daerah.
“Tiada kompaun bagi kesalahan ini, kes dibawa terus ke mahkamah, selesai di mahkamah baru boleh keluarkan kenderaan yang disita. Jadi pemilik kena hadir ke mahkamah,“ katanya kepada pemberita selepas Op Pemandu Warga Asing (Pewa) di Meru di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan secara berterusan dan bersasar berdasarkan maklumat risikan, aduan awam serta lokasi-lokasi yang dikenal pasti mempunyai risiko ketidakpatuhan yang tinggi.
Jelasnya, antara kesalahan yang menjadi perhatian ialah pemanduan tanpa lesen memandu yang sah di bawah Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Kita turut memberi perhatian khusus terhadap pemandu warga asing yang bekerja sebagai pemandu kenderaan perdagangan, termasuk kenderaan barangan dan pengangkutan awam, memandangkan kenderaan-kenderaan tersebut mempunyai risiko keselamatan yang lebih tinggi sekiranya dikendalikan oleh individu yang tidak mempunyai kelayakan, lesen atau kompetensi yang ditetapkan.
"Majikan, pemilik dan pemandu kenderaan mempunyai tanggungjawab, jangan hanya mengambil kira kos tenaga kerja tetapi mengabaikan aspek kelayakan dan keselamatan," ujarnya.
Tegasnya, sekiranya seseorang itu tidak layak memandu, jangan serahkan kenderaan kepada mereka.
"JPJ Selangor akan terus menjalankan operasi secara risikan, bersasar dan berterusan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti mempunyai kadar ketidakpatuhan yang tinggi, termasuk kawasan industri, kawasan komersial, pusat logistik, laluan utama serta terminal pengangkutan," ujarnya.
Tambahnya, JPJ memberi amaran keras kepada pemilik kenderaan dan majikan supaya tidak membenarkan warga asing memandu tanpa kelayakan serta dokumen yang sah.





