Warga asing guna ‘umpan’ individu lengkap lesen elak operasi JPJ

8 Oct 2026 • 4:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Warga asing guna ‘umpan’ individu lengkap lesen elak operasi JPJ
JPJ Selangor menggerakkan Op Pewa di Bangi pada Khamis. Foto: JPJ SELANGOR

BANGI - Helah umpan individu lengkap dengan lesen memandu bagi memantau kehadiran anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang melaksanakan operasi kesalahan jalan raya membabitkan warga asing dikesan pada Khamis.

Taktik itu dikesan hasil Operasi Pemandu Warga Asing (Pewa) yang dilaksanakan JPJ Selangor di sekitar Seksyen 7, di sini.

Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, taklimat operasi bermula jam 6 pagi di JPJ Cawangan Bangi.

Menurutnya, JPJ bertindak menyita 24 motosikal jenis Modenas Kriss serta Honda EX5 yang ditunggang warga Bangladesh dan Pakistan.

"Kita mengeluarkan 60 saman atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.

"Sepanjang operasi dilakukan hari ini, JPJ mengesan modus operandi warga asing yang dipercayai menghantar 'umpan' pemandu yang lengkap dengan lesen serta dokumen berkaitan sebelum menyampaikan maklumat kepada rakan-rakannya," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tambahnya, ketika penguatkuasaan dilakukan, terdapat cubaan penunggang motosikal terbabit melarikan diri, memandu lawan arus hingga anggota operasi terpaksa mengejarnya.

Beliau berkata, JPJ juga mendapati motosikal terbabit ada yang dipinjam daripada orang lain selain milikan sendiri.

"Warga asing ini kebanyakan bekerja sebagai tukang kebun, pemotong rumput serta pekerja sisa kumbahan," ujarnya.

Tegasnya, JPJ Selangor sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan terhadap semua aduan bagi memastikan kenderaan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved