
SHAH ALAM, 7 OKT: Sebanyak 14 kenderaan disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor dalam Ops Pemandu Warga Asing (PEWA) di Jalan Teluk Menegun, semalam.
Operasi pada 6 Oktober itu mengesan beberapa kesalahan membabitkan pemandu warga asing, termasuk tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.
Kesemua 14 kenderaan yang disita dibawa ke JPJ Shah Alam untuk tindakan lanjut.
JPJ Negeri Selangor berkata pihaknya sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan terhadap semua aduan bagi memastikan kenderaan mematuhi peraturan serta undang-undang jalan raya ditetapkan.
Menerusi makluman dikeluarkan di Facebook, JPJ Negeri Selangor turut menegaskan bahawa pihaknya sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua aduan dan memastikan kenderaan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan.
Orang awam yang mempunyai aduan berkaitan kesalahan lalu lintas boleh menyalurkannya kepada JPJ menerusi e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-Aduan berserta butiran pengadu dan maklumat berkaitan aduan.
Sementara itu, JPJ sebelum ini mengesan trend rakyat Malaysia menyewakan motosikal kepada warga asing pada kadar antara RM50 hingga RM200 sebulan, khususnya di Kelantan dan Terengganu.
Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata kegiatan itu turut membabitkan motosikal roda tiga yang semakin banyak dikesan di negeri Pantai Timur, selain digunakan untuk membawa muatan berlebihan.
“Kita mengenal pasti trend baharu membabitkan rakyat Malaysia menyewakan motosikal kepada warga asing dengan kadar antara RM50 hingga RM200 sebulan, bergantung jenis dan keadaan motosikal.
“Sebahagian motosikal ini digunakan untuk membawa muatan sehingga menghalang penglihatan kenderaan lain dan boleh menyebabkan kemalangan.
“Motosikal roda tiga paling banyak dikesan di Pantai Timur dan biasanya digunakan untuk mengutip bahan terbuang atau bahan yang boleh dikitar semula, dengan kebanyakannya dikendalikan komuniti Rohingya,” katanya.
Muhammad Kifli berkata tindakan penguatkuasaan boleh dikenakan bukan sahaja terhadap warga asing yang menggunakan kenderaan berkenaan, malah pemilik kenderaan tempatan sekiranya terdapat kesalahan.






