JPN gempur kilang getah, 22 pekerja asing ditahan

6 Aug 2026 • 8:33 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

JPN gempur kilang getah, 22 pekerja asing ditahan

PELABUHAN KLANG, 6 OGOS: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan kerjasama beberapa agensi penguatkuasaan menahan 22 pekerja asing yang menggunakan kad pengenalan palsu serta milik orang lain dalam serbuan di sebuah kilang getah di Sungai Kapar Indah, Klang.

Pengarah Penguatkuasaan JPN Mazhad Abdul Aziz berkata serbuan menerusi Ops Getah pada 3 petang itu melibatkan pemeriksaan terhadap 74 individu di premis berkenaan, dan 24 daripadanya ialah rakyat tempatan.

“Tindakan menahan 21 wanita dan seorang lelaki warga Indonesia berumur antara 28 hingga 55 tahun itu dilakukan sejurus pemeriksaan mendapati mereka menggunakan MyKad yang tidak sah.

“Kesemua individu yang ditahan akan dibawa ke JPN Putrajaya bagi proses tindakan dan siasatan selanjutnya di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990,” katanya pada sidang media selepas menyertai Ops Getah di sini, hari ini.

Beliau berkata individu terlibat boleh dikenakan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Mazhad berkata pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya terhadap 28 individu di premis sama turut mengesan 14 daripadanya melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

“Risikan telah dijalankan sepanjang tempoh satu bulan untuk mendapatkan keberadaan Orang Yang Disyaki (OYDS) sebelum tindakan serbuan dilakukan di kilang ini.

“Operasi terancang dan bersepadu ini dilaksanakan bertujuan membanteras penyalahgunaan dokumen pengenalan diri, khususnya kad pengenalan dalam kalangan pekerja warga asing,” katanya.

Ops Getah berkenaan disertai 65 anggota yang terdiri daripada 40 anggota JPN dari Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan bersama 20 anggota JIM Putrajaya serta lima anggota Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved