
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah memandang serius isu jemputan seorang influencer media sosial merasmikan majlis anugerah akademik di sebuah sekolah di negeri itu.
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook hari ini (9 Disember), JPN Kedah menyatakan siasatan berhubung perkara itu sedang dijalankan.
Tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang tidak patuh peraturan
Menurutnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati tidak mematuhi peraturan yang sedang berkuatkuasa.
“JPN Kedah mengingatkan semua pentadbir sekolah untuk memastikan jemputan kepada pihak luar mematuhi garis panduan.
“Tetamu yang dijemput perlu menjadi contoh yang baik selari dengan hasrat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara,” katanya.

Tular sekolah panggil influencer rasmikan majlis anugerah cetus pelbagai reaksi
Terdahulu, kecoh di media sosial mengenai sebuah sekolah rendah di Kedah telah menjemput seorang influencer yang juga usahawan makanan untuk merasmikan majlis anugerah.
Dalam video yang tular, kelihatan influencer berkenaan memberi ucapan, mengetuk gong dan menyampaikan sijil kepada beberapa murid di sekolah terbabit.
Perkara itu kemudiannya mendapat perhatian ramai di mana pelbagai reaksi yang diberikan oleh netizen.
