
GEORGE TOWN – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan kes gangguan seksual dan buli siber melibatkan seorang pelajar Tingkatan Lima yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 di negeri ini.
JPN Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, kes berkenaan sedang dalam tindakan pihak polis dan pihaknya akan memberikan kerjasama penuh bagi membantu proses siasatan tersebut.
Menurut kenyataan itu, siasatan dalaman dijalankan bagi meneliti setiap aspek berkaitan insiden tersebut.
“JPN Pulau Pinang mengambil perhatian insiden gangguan seksual dan buli siber yang melibatkan seorang murid di negeri ini seperti yang dilaporkan media.
“Tumpuan utama JPN Pulau Pinang pada ketika ini adalah untuk melindungi murid yang menjadi mangsa. Intervensi sokongan psikososial sedang dilaksanakan bagi membantu murid yang terjejas,” katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, JPN Pulau Pinang turut menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku seksual dan kes buli di institusi pendidikan.
“Tindakan paling tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah,” tambahnya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang ibu meluahkan kebimbangan apabila anak perempuannya yang juga calon SPM 2026 didakwa menjadi mangsa buli seksual dan gangguan siber sejak April lalu.
Emosi remaja terbabit dikatakan semakin terganggu apabila gambarnya telah disunting menggunakan teknologi AI sebelum disebarkan menerusi poster di sekolah, tempat awam dan di media sosial. -KOSMO! ONLINE
The post JPN P. Pinang jamin lindung mangsa buli seksual babit calon SPM appeared first on Kosmo Digital.






