
GEORGE TOWN – Pihak sekolah memberi jaminan akan memastikan isu buli seksual dan siber membabitkan seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Seberang Perai, baru-baru ini, tidak menjejaskan persediaannya menghadapi peperiksaan itu nanti.
Pengarah Pendidikan Negeri, Mohammad Dziauddin Mat Saad berkata, situasi berhubung kejadian itu semakin reda dan pihak sekolah memberi keutamaan supaya dia dapat hadir ke sekolah tanpa sebarang gangguan.
Menurutnya, pihak sekolah turut mendapatkan khidmat guru bimbingan dan kaunseling bagi membantu menguruskan emosi murid berkenaan selain memastikan tumpuannya kekal kepada persediaan SPM.
“Kita mahu memberi keyakinan kepada ibu bapa murid berkenaan memang sekolah sedang berusaha untuk keadaan itu supaya tidak mengganggu persediaan anak ini untuk berdepan dengan SPM.
“Yang penting ialah kita perlu melindungi identiti murid berkenaan supaya tidak menjadi sasaran pihak lain pula,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Kunjungan Pemantauan Kesediaan Sekolah Menguruskan Warga Sekolah Menghadapi Jerebu di Sekolah Kebangsaan Bukit Gelugor di sini, hari ini.
Beliau berkata, laporan polis berhubung kejadian itu telah dibuat dan pihaknya menyerahkan siasatan lanjut kepada pihak berkuasa.
“Pegawai penyiasat (IO) juga telah hadir ke sekolah dan beberapa lokasi yang disyaki berkaitan dengan kejadian bagi menjalankan siasatan. Kita serahkan kepada pihak polis untuk meneruskan siasatan, manakala sekolah pula akan memastikan kebajikan dan emosi murid terbabit terus diberi perhatian.
“Kita sudah selesai ujian peperiksaan pertengahan tahun dan peperiksaan percubaan. SPM hanya kurang 90 hari lagi. Jadi, kita mahu murid berkenaan fokus kepada persediaan peperiksaan,” katanya.
Tambahnya, pihak sekolah akan terus memantau keadaan tersebut bagi memastikan murid terbabit dapat meneruskan sesi persekolahan dalam suasana yang selamat dan kondusif.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang ibu meluahkan kebimbangan apabila anak perempuannya yang juga calon SPM 2026 didakwa menjadi mangsa buli seksual dan gangguan siber sejak April lalu.
Emosi remaja terbabit dikatakan semakin terganggu apabila gambarnya telah disunting menggunakan teknologi AI sebelum disebarkan menerusi poster di sekolah, tempat awam dan di media sosial. -KOSMO! ONLINE
The post JPN pastikan persediaan SPM mangsa buli seksual tidak terjejas appeared first on Kosmo Digital.





