
Nama yang tidak boleh digunakan di Malaysia
JPN Pesan Rakyat Malaysia Agar Jangan Terlalu Kreatif Beri Nama Anak, Skibidi, Tan Sri, Chuynx Tidak Dibenarkan. Nama seseorang individu itulah yang melambangkan identiti, etnik, bangsa serta keturunan, bak kata pepatah, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, bukan sekadar perbuatan kita sahaja yang akan disebut dan diingati tapi nama kita juga akan diingati.
Baru-baru ini, Jabatan Pendaftaran Negara telah memuatnaik perkongsian di laman Facebook mereka di mana mereka memesan rakyat Malaysia agar jangan menjadi ‘terlalu kreatif’ jika memberikan nama kepada bayi.

Garis panduan nama tidak boleh diterima
Oleh itu, Jabatan Pendaftaran Negara turut berkongsi garis panduan mengenai nama yang tidak boleh diterima untuk kanak-kanak.
Antara nama yang tidak dibenarkan termasuk nama yang mempunyai makna yang tidak baik di dalam bahasa Melayu iaitu ‘bodoh’, ‘busuk’, ‘harimau’, ‘skibidi’ (slang Gen A) dan juga ‘evil’.

Elak beri gelaran ‘Dato’, ‘Tan Sri’, ‘Puan Sri’, dan ‘Haji’
Ibu bapa juga dipesan untuk mengelak daripada memberi gelaran dalam nama bayi mereka seperti ‘Dato’, ‘Tan Sri’, ‘Puan Sri’, dan ‘Haji’.
Nama kreatif yang lain yang boleh menyebabkan kekeliruan apabila disebut atau dieja juga tidak dibenarkan seperti ‘chuynx’, ‘ytjt’, dan ‘usyux’.
Selain itu, panjang maksimum aksara pada sijil kelahiran ialah 80.
Oleh demikian, buat ibu bapa baharu di luar sana yang ingin menamakan anak, buat keputusan yang sewajarnya dengan memberikan mereka nama yang baik-baik dan tidak melanggar undang-undang yang telah ditetapkan.




