amree17/09/2026 - 15:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Sept — MyKad generasi baharu dibekalkan anak syarikat NexG Berhad, Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) berpotensi memperluaskan fungsi kad pengenalan negara daripada sekadar dokumen identiti kepada gerbang digital bagi pengesahan identiti, perkhidmatan dan transaksi.
Justeru, kumpulan tersebut menyambut baik pelancaran MyKad baharu oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) secara berperingkat mulai 17 September 2026, yang menggabungkan pengesahan identiti melalui teknologi QR biometrik dengan penggunaan luas e-dompet pada skala nasional.
Ujarnya, teknologi QR biometrik eKYC menjadi komponen utama yang membolehkan satu kelayakan digital digunakan bagi tujuan identiti dan pengesahan, dengan potensi diperluas kepada perkhidmatan awam serta sektor swasta tertakluk kepada kelulusan dan integrasi teknikal.
"Ini membolehkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengimbas kod QR dan mengesahkan pemegang kad menerusi padanan wajah secara langsung dengan rekod biometrik JPN, manakala penggunaan oleh agensi lain memerlukan kelulusan serta aturan antara agensi," jelas NexG dalam kenyataan.
DTSB menerima kontrak KDN untuk membekalkan kad pengenalan nasional, MyKad baharu di samping kad khusus MyTentera, MyPOCA dan bahan habis guna kepada JPN bagi selama tempoh enam tahun sehingga 31 Mei 2032.
Bagi sektor komersial pula, NexG berkata bank, syarikat telekomunikasi dan peniaga yang diluluskan berpotensi menggunakan pengesahan identiti berkenaan bagi proses pendaftaran pelanggan, 'Know Your Customer' (KYC) dan pematuhan tanpa perlu membangunkan infrastruktur pengesahan sendiri.
NexG turut menyatakan e-dompet dalam MyKad baharu itu disediakan kepada kerajaan pada kos sifar, sebagai sumbangan kumpulan berkenaan kepada rakyat serta mencerminkan kerjasama selama 27 tahun dengan kerajaan dalam projek MyKad.

"Identiti digital yang selamat dan dipercayai boleh menjadi asas kepada ekonomi digital dengan memudahkan transaksi, meningkatkan kebolehoperasian antara sektor, memperkemas perkhidmatan awam serta membantu kawalan privasi data dan mengurangkan risiko penipuan," katanya.
Ia turut melihat MyKad baharu berpotensi menyokong penyampaian subsidi yang lebih tepat menerusi pengesahan kelayakan secara masa nyata, tetapi buat masa ini rekod bantuan dan subsidi belum lagi disimpan dalam MyKad, sebaliknya kekal dalam sistem bantuan yang berkaitan.
Bagaimanapun ujarnya, MyKad generasi baharu kini mempunyai 53 ciri keselamatan, meningkat daripada 23 ciri pada versi terdahulu, termasuk penggunaan hologram keselamatan dinamik, tingkap lutsinar, kod QR penguatkuasaan dan cip dwiantara muka.
Pihak JPN menegaskan kod QR pada MyKad baharu namun bukan untuk diimbas menggunakan kamera telefon pintar biasa, sebaliknya ketika ini hanya digunakan bagi tujuan pengesahan identity oleh pihak penguatkuasaan termasuk JPN.
Pengerusi Eksekutif NexG Berhad, Datuk Ishak Ismail berkata, pelancaran MyKad baharu merupakan pencapaian kerajaan dan kumpulan itu berbangga kerana menjadi rakan kerajaan dalam menjaga identiti rakyat Malaysia sejak 1999.
NexG, yang sebelum ini dikenali Datasonic Group Berhad berkata, kumpulan itu akan terus melabur dan berkembang bersama kerajaan bagi menyokong pembangunan infrastruktur identiti digital negara, selaras evolusi MyKad daripada kad fizikal kepada platform digital yang bersepadu. - DagangNews.com






