
SHAH ALAM, 7 NOV: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor akan melaksanakan kerja pengorekan Sungai Pelempas dan kolam berhampiran dalam masa terdekat bagi meningkatkan kapasiti saliran bagi mengurangkan risiko banjir di Kampung Melayu Subang.
JPS Selangor berkata, kerja berkenaan merupakan langkah segera (quick win) sementara menunggu pelaksanaan projek Sungai Pelempas yang dijadualkan bermula tahun hadapan.
Selain pengorekan, jabatan itu turut mengenal pasti lokasi bagi pembinaan tembok penahan banjir (floodwall) di kawasan berisiko menerima limpahan Sungai Pelumut, selain kawasan berpotensi dijadikan kolam takungan dan lokasi pelebaran Sungai Pelempas.
“Kita akan melaksanakan kerja 'quick win' membabitkan pengorekan Sungai Pelempas dan kolam dalam masa terdekat bagi menambah kapasiti saliran selain menjalankan OPS Lumpur bagi semua lokasi di kawasan upstream bagi memastikan pemaju mematuhi obligasi dalam syarat pemajuan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Dalam usaha mengurangkan risiko banjir sementara menunggu projek berkenaan dilaksanakan, JPS menggantikan pam sedia ada di Jalan Resak dengan pam baharu berkapasiti 280 liter sesaat (l/s), berbanding 140 l/s sebelum ini.
Pam lama yang dikeluarkan dari Jalan Resak kemudian dipindahkan ke Desa Subang Perantau, Jalan Ikhlas. Pemindahan itu menjadikan kawasan berkenaan mempunyai dua pam bagi membantu mengepam air dari saliran dalaman ke Sungai Pelempas.
Menurut JPS, langkah berkenaan dibuat susulan penilaian selepas banjir pada 2 dan 4 November lalu yang merekodkan taburan hujan masing-masing sebanyak 116.5 milimeter (mm) dan 91.5mm.
“Hasil penilaian susulan banjir pada 2 dan 4 November lalu dengan taburan hujan melebihi 100 milimeter (mm), mendapati keperluan pam berkapasiti lebih besar diperlukan di Jalan Resak.
“Ia terutama kerana saliran dalaman akan bertumpu ke kolam di Jalan Resak sebelum boleh disalurkan ke Sungai Pelempas. Susulan itu kami menukar pam di Jalan Resak kepada pam baharu berkapasiti 280 liter sesaat (l/s).
“Kedudukan Desa Subang Perantau (Jalan Ikhlas) yang berada di kawasan downstream (hiliran) memerlukan lebih pam berkapasiti lebih tinggi ini kerana risiko limpahan backwater dari Jambatan Kampung Baru Subang lebih tinggi di kawasan berkenaan,” katanya.
JPS berkata, hujan lebat melebihi 60mm turut menjadi antara faktor utama menyebabkan air banjir lambat surut di kedua-dua kawasan berkenaan.
“Paras Sungai Pelempas yang masih tinggi menyukarkan air daripada saliran dalaman disalirkan ke dalam sungai, justeru kami menyediakan pam bagi membantu perkara itu. Selain itu kawasan yang terkesan berada di low-lying area (kawasan tanah rendah), sistem saliran dalaman terhad dan tidak sistematik,” katanya.
Selain itu, JPS sudah memasang pintu kawalan aliran air (flapgate) pada saliran keluar ke sungai dari parit atau longkang dalaman dalam lot hak milik yang berpotensi menyebabkan aliran air berpatah balik.
Menerusi Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Damansara, jabatan itu turut melaksanakan kerja pelebaran dan pendalaman Sungai Damansara di bahagian hilir serta membuang struktur halangan di dalam sungai berkenaan.

Pada 5 November lalu, Ahli Dewan Negeri Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim menyambut baik tindakan JPS meningkatkan kapasiti pam di Jalan Resak dan memindahkan pam lama ke Desa Subang Perantau bagi membantu mempercepat pengaliran air bertakung.
“Ini sebahagian daripada usaha jangka pendek sementara menunggu projek Sungai Pelempas dilaksanakan mulai tahun hadapan. Insya-Allah, usaha ini diharap dapat mengurangkan takungan air di kawasan terjejas,” katanya kepada Media Selangor.






