JS Solar melonjak 29% pada hari pertama dagangan di Pasaran ACE

LocalBusiness & Finance
23 Sep 2025 • 10:08 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

JS Solar melonjak 29% pada hari pertama dagangan di Pasaran ACE

image is not available

23/09/2025 - 10:08

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Sept – JS Solar Holding Bhd, syarikat yang terlibat dalam pembinaan dan pemasangan panel solar, mencatatkan prestasi memberangsangkan pada hari pertama dagangan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pagi ini.

Saham JS Solar dibuka pada harga 40 sen, iaitu 29% lebih tinggi berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 31 sen.

Tidak lama selepas loceng pembukaan, saham syarikat itu melonjak setinggi 42 sen sebelum menyusut sedikit kepada 39.5 sen pada pukul 9.20 pagi dengan jumlah dagangan mencecah 36.92 juta saham.

Pengarah Urusan JS Solar, Johnson Chai Jeun Sian berkata, penyenaraian itu adalah satu permulaan penting dalam operasi syarikat untuk memperkukuh kedudukan dalam industri tenaga boleh diperbaharui (RE).

“Penyenaraian JS Solar di Pasaran ACE menyediakan asas kukuh untuk pertumbuhan serta membolehkan kami memanfaatkan perkembangan dalam landskap tenaga boleh diperbaharui.

“Sebagai entiti tersenarai, kami kini berada dalam kedudukan lebih baik untuk memperkukuh keupayaan, melaksanakan lebih banyak projek, serta merebut peluang bagi mempercepatkan trajektori pertumbuhan,” katanya kepada pemberita di majlis penyenaraian tersebut.

IPO JS Solar menerima sambutan luar biasa daripada pelabur apabila bahagian awam terlebih langgan lebih 48 kali.

Syarikat itu menerima permohonan untuk lebih 800 juta saham baharu dengan nilai mencecah RM248 juta.

Bagi peruntukan runcit Bumiputera, ia terlebih langgan 46 kali, manakala permintaan daripada pelabur bukan Bumiputera pula melebihi tawaran sebanyak 50 kali.

Selain itu, saham yang diperuntukkan kepada pihak layak serta pelabur terpilih melalui penempatan persendirian juga habis diambil sepenuhnya. - DagangNews.com

standard