Semak kelayakan subsidi Budi MADANI RON95 mulai 25 Sept ini - Menteri Kewangan II

23/09/2025 - 18:15
Gambar DagangNews2025 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 23 Sept – Rakyat Malaysia boleh membuat semakan kelayakan subsidi bagi program Budi MADANI RON95 mulai pukul 9 pagi pada 25 September (Khamis) ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, semakan boleh dibuat melalui portal www.budimadani.gov.my.
Beliau berkata, portal itu juga akan memudahkan rakyat menyemak baki penggunaan kelayakan bulanan.
"Pemandu e-hailing juga boleh memohon tambahan kepada siling kelayakan mereka di portal ini.
"Orang ramai juga boleh menghubungi talian bantuan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai BUDI MADANI di nombor 1300-88-9595, juga mulai 9.00 pagi Khamis, 25 September 2025," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, sistem subsidi petrol RON95 yang disasarkan khusus untuk rakyat Malaysia direka dan diteliti agar tidak menyulitkan rakyat, malah memberi manfaat kepada penerima.
"Bagi melindungi kesejahteraan rakyat, kerajaan akan memperuntukkan sekitar RM11 bilion untuk menampung perbezaan antara harga bersubsidi sebanyak RM1.99 seliter dan harga pam tanpa subsidi iaitu sekitar RM2.60 seliter.
"Dengan pemansuhan subsidi pukal, kerajaan mengunjurkan BUDI95 akan menjana penjimatan antara RM2.5 bilion dan RM4 bilion setahun.
"Penjimatan ini akan digunakan untuk memperluas bantuan bersasar yang memberi manfaat terus kepada rakyat, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA)," katanya.
Semua warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak secara automatik untuk membeli RON95 sehingga 300 liter sebulan.
Siling kelayakan bulanan ini telah ditetapkan berdasarkan dapatan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), di mana 99% pemandu kenderaan persendirian di Malaysia menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan.
Kelayakan 300 liter ini adalah memadai untuk seorang pekerja yang memandu kereta proton Saga berulang-alik sejauh 200 kilometer dari Seremban ke Puncak Alam selama sebulan.
Beliau berkata, siling kelayakan bulanan yang tinggi ini juga menjadi penampan terhadap eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab, sama ada penyeludup sempadan mahupun syarikat komersial berskala besar.
Dalam pada itu, beliau berkata, pengguna hanya perlu memasukkan MyKad ke dalam ‘reader’ untuk membuat pembelian ketika berada di pam stesen minyak.
“Selain bayaran secara tunai, pengguna juga boleh membuat pembayaran melalui kad kredit atau debit, e dompet atau aplikasi Setel,” katanya dalam taklimat media mengenai subsidi RON95 hari ini.
Pengguna akan menerima resit yang memaparkan harga petrol dan nilai subsidi yang ditanggung oleh kerajaan selepas transaksi selesai.
Bermula 30 September ini, seluruh rakyat Malaysia akan menikmati harga baharu RON95 pada RM1.99 seliter dengan hanya menggunakan MyKad di kaunter dan pam, atau menerusi aplikasi stesen minyak.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, manfaat ini akan dinikmati lebih awal oleh anggota polis dan tentera mulai 27 September, serta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mulai 28 September.- DagangNews.com
featured standard
