JSJK Hantar Pasukan Siasatan Penahanan 130 Rakyat Malaysia Di Pakistan

12 Nov 2026 • 6:31 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

JSJK Hantar Pasukan Siasatan Penahanan 130 Rakyat Malaysia Di Pakistan

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman akan menghantar pegawai ke Pakistan dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung penahanan 130 rakyat Malaysia di Rawalpindi bulan lepas.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata penghantaran pegawai berkenaan bertujuan mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa Pakistan, merakam keterangan serta menganalisis peranti yang dirampas dalam serbuan berkenaan.

Beliau berkata penelitian terhadap barang kes amat penting bagi membongkar modus operandi sindiket, termasuk penggunaan pakaian seragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memperdaya mangsa.

“Kami perlu mengatur pertemuan bagi mendapatkan keterangan daripada pihak berkuasa di sana, selain melihat bahan bukti atau peranti yang dirampas. Kami juga mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai pihak yang membawa mereka ke Pakistan,” katanya pada sidang media bulanan JSJK Bukit Aman di sini hari ini.

Baca juga:

Rusdi berkata PDRM hanya menerima maklumat berhubung penahanan itu pada penghujung Oktober menerusi saluran rasmi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan rakan sejawat di Pakistan, meskipun tangkapan dilakukan pada 13 Okt lepas.

Menurut Rusdi, pengesahan penuh mengenai identiti kesemua 130 warga tempatan itu diperoleh hasil tindakan susulan melalui kerjasama polis, pihak kedutaan dan Polis Antarabangsa (Interpol).

Beliau ketika memperincikan pecahan tangkapan berkata 59 individu berasal dari Sabah, 57 dari Sarawak, selebihnya dari Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Kelantan.

“Semakan mendapati 92 individu tidak mempunyai rekod jenayah di Malaysia, selebihnya mempunyai pelbagai rekod kesalahan, termasuk berkaitan dadah, penipuan dan perjudian manakala dua daripada mereka dikehendaki polis berhubung kes penipuan di Sabah,” katanya.

Rusdi ketika mengulas mengenai status imigresen berkata 107 individu didapati tinggal lebih masa susulan visa tamat tempoh, 20 memiliki visa sah, dua mendapat lanjutan visa dan seorang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Beliau berkata analisis awal mendapati rakyat Malaysia terbabit tiba di Pakistan secara berperingkat antara 8 Jun hingga 29 Sept, dengan jumlah ketibaan tertinggi direkodkan pada 3 Ogos, iaitu 53 orang.

Menurut Rusdi, kebanyakan individu yang dibawa pulang dari luar negara sebelum ini memberikan alasan diperdaya dengan tawaran pekerjaan.

“Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman siasatan, terdapat individu yang dipercayai mengetahui tujuan sebenar mereka dibawa ke luar negara untuk melakukan kerja berkaitan sindiket penipuan, namun memainkan peranan berbeza seperti operator panggilan, tukang masak atau penyelia,” katanya.

Sebelum ini, media Pakistan melaporkan Agensi Siasatan Jenayah Siber Kebangsaan (NCCIA) menggempur sebuah premis di KASA Tower, Bahria Town Fasa VIII, Rawalpindi yang dijadikan pusat panggilan penipuan kewangan menyasarkan mangsa di Malaysia.

Sindiket berkenaan dilaporkan beroperasi dengan menyamar sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan bank serta polis, selain memerangkap mangsa menerusi dakwaan palsu penglibatan dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved