
KUALA LUMPUR: Kegiatan kumpulan gangsterism dan kongsi gelap 08 yang dipercayai menguasai rangkaian pengedaran dadah di sekitar Flat San Peng di sini, terbongkar apabila tiga sindiket utama berjaya ditumpaskan menerusi Ops Khas San Peng pada Rabu hingga Jumaat lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, seramai 143 individu ditahan hasil 91 serbuan yang dilaksanakan sepanjang operasi tiga hari tersebut.
“Operasi berkenaan dilaksanakan hasil risikan dan pemantauan berterusan yang mengenal pasti Flat San Peng sebagai antara lokasi tumpuan aktiviti penagihan serta pengedaran dada.
“Kegiatan itu khususnya membabitkan pengedar dadah berskala kecil yang aktif menjalankan kegiatan haram sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk setempat,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Hussein berkata, operasi berkenaan membabitkan kekuatan 36 pegawai kanan polis dan 210 anggota bagi membanteras kegiatan dadah serta memulihkan keselamatan dan ketenteraman masyarakat setempat.
Menurutnya, pihak polis turut menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah yang dikenal pasti sebagai pembekal utama bekalan dadah ke kawasan Flat San Peng dan kawasan sekitarnya.
“Operasi ini turut berjaya menahan sejumlah pengedar dadah berskala kecil atau tokan yang aktif menjalankan kegiatan pengedaran di kawasan berkenaan.
“Sebanyak 71 kes direkodkan membabitkan 143 tangkapan termasuk tiga ketua sindiket berkenaan.
“Daripada jumlah tangkapan itu, 127 adalah lelaki dan 16 perempuan membabitkan 115 warga tempatan dan 28 warga asing,” katanya.
Menurutnya, saringan air kencing terhadap semua individu yang diperiksa mendapati 107 positif dadah manakala 36 lagi negatif.
“Sebanyak 151.6 kilogram dadah pelbagai jenis bernilai RM7.7 juta dirampas sepanjang operasi berkenaan. Rampasan dianggarkan mampu merosakkan kira-kira 505,000 individu sekiranya dadah berkenaan diedarkan,” katanya.
Hussein berkata, kejayaan operasi itu membuktikan komitmen JSJN dalam membanteras kegiatan penagihan dan pengedaran dadah secara menyeluruh, termasuk memutuskan rantaian bekalan serta melumpuhkan sindiket utama yang menjadi dalang kegiatan berkenaan.
“Tindakan penguatkuasaan itu bukan sahaja menyasarkan pengedar di peringkat jalanan, malah memberi tumpuan kepada usaha melumpuhkan rangkaian pembekal utama.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah boleh menghubungi Hotline JSJN di talian 012-208 7222,” katanya.- UTUSAN
The post Polis tumpaskan kongsi gelap 08, tiga sindiket dalangi pengedaran dadah appeared first on Utusan Malaysia.






