JSJN: Tahanan juruterbang di Jakarta dilanjutkan 30 hari

3 Oct 2026 • 8:52 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: JSJN: Tahanan juruterbang di Jakarta dilanjutkan 30 hari

Juruterbang Malaysia yang ditahan di Jakarta kerana kes penyeludupan dadah kini ditahan 30 hari lagi selepas tamat tahanan awal 60 hari.

KUALA LUMPUR: Juruterbang Malaysia yang ditahan di Jakarta, Indonesia bagi membantu siasatan kes penyeludupan dadah, kini ditahan di bawah perintah mahkamah untuk tempoh 30 hari lagi, selepas tamat tempoh tahanan awal selama 60 hari.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya menerima perkembangan terkini berhubung kes itu daripada Direktorat Tindak Pidana Narkoba, Polis Republik Indonesia (Narkoba Polri).

Beliau berkata kes berkenaan masih dalam siasatan dan penilaian pihak berkuasa Indonesia, dengan tempoh maksimum tahanan sebelum pertuduhan boleh dikenakan adalah sehingga 120 hari.

“Pihak PDRM telah menerima makluman terkini daripada Narkoba Polri. Mereka telah melanjutkan tempoh tahanannya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang lagi juruterbang serta enam individu lain yang ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket dadah berkenaan, dikenakan perintah tahanan selama 60 hari mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Kes berkenaan melibatkan siasatan pihak berkuasa Indonesia dan Malaysia berhubung dakwaan penglibatan anggota penerbangan Malaysia dalam kegiatan penyeludupan dadah.

Bernama sebelum ini melaporkan seorang juruterbang warga Malaysia berusia 39 tahun, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 29 Julai.

Suspek ditahan selepas dipercayai membawa 15 bungkusan mengandungi kira-kira 70,000 kapsul disyaki ekstasi dan methamphetamine, dengan berat keseluruhan kira-kira 25 kilogram dan nilai dianggarkan RM45 juta.

Susulan penahanan itu, sepasukan pegawai JSJN berkunjung ke Jakarta dari 11 hingga 15 Ogos, bagi menjalankan soal siasat terhadap suspek selain bertukar-tukar maklumat dengan pihak berkuasa Indonesia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved