Kes dadah: Tempoh tahanan juruterbang Malaysia di Jakarta dilanjutkan

3 Oct 2026 • 6:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kes dadah: Tempoh tahanan juruterbang Malaysia di Jakarta dilanjutkan
Hussein

KUALA LUMPUR - Tempoh penahanan seorang juruterbang Malaysia yang ditahan di Jakarta, Indonesia berhubung siasatan kes penyeludupan dadah dilanjutkan selepas selesai menjalani tempoh tahanan awal selama 60 hari.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek kini ditahan mengikut perintah mahkamah untuk tempoh 30 hari lagi.

Menurutnya, perkembangan itu dimaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) oleh Direktorat Jenayah Narkotik Polis Indonesia.

"Pihak polis (Malaysia) dimaklumkan oleh pihak berkuasa narkotik Indonesia. Kes ini masih dalam peringkat siasatan dan penilaian.

"Mereka melanjutkan tempoh reman (juruterbang) berkenaan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Media sebelum ini melaporkan, seorang juruterbang warga tempatan berusia 39 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta pada Julai lalu berhubung kes berkenaan.

Dalam tangkapan itu, pihak berkuasa Indonesia merampas 15 bungkusan mengandungi kira-kira 70,000 kapsul yang disyaki pil ekstasi dan methamphetamine dengan berat keseluruhan kira-kira 25 kilogram (kg).

Kes itu disiasat secara bersama pihak berkuasa Indonesia dan Malaysia susulan dakwaan pembabitan kakitangan syarikat penerbangan Malaysia dalam kegiatan penyeludupan dadah.

Sementara itu, Hussein berkata, tempoh penahanan berkenaan juga boleh dilanjutkan untuk 30 hari lagi mengikut proses perundangan di Indonesia.

"Tempoh ini boleh dilanjutkan selama 30 hari lagi," katanya.

Beliau berkata, seorang lagi juruterbang serta enam individu lain yang ditahan di Malaysia kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan dikenakan perintah tahanan selama 60 hari mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved