
PETALING JAYA: Tiada cadangan untuk melaksanakan tindakan penguatkuasaan seperti mengadakan sekatan jalan raya (SJR) sempena penganjuran acara RXZ Members 8.0 yang dijadual berlangsung di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu pada Jumaat ini.
Sebaliknya, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman akan menggunakan kaedah risikan dan rakaman video sebagai proses pembuktian sebelum tindakan susulan yang bakal diambil selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaam Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, pendekatan seimbang menggabungkan bimbingan kepada peserta acara berkenaan meliputi pendidikan keselamatan jalan raya serta penguatkuasaan tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang akan dilaksanakan.
Beliau berkata, JSPT akan mendekati golongan muda menerusi sesi penerangan dan bimbingan berkaitan keselamatan jalan raya, namun tidak akan berkompromi terhadap kesalahan yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Kita mahu mendidik dan membimbing golongan muda mengenai kepentingan keselamatan jalan raya sepanjang penganjuran acara berkenaan serta menekankan aspek undang-undang keselamatan jalan raya.
“Pada masa sama, kita akan tetap tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang serta membahayakan keselamatan orang lain termasuk melalui risikan, merakam video serta bukti-bukti lain bagi mengesan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh pengguna jalan raya.
“Ini termasuk menunggang atau memandu dalam keadaan membahayakan, melebihi had laju dibenarkan serta kesalahan-kesalahan lain yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya kepada media di sini hari ini.
Muhammed Hasbullah berkata, semua kesalahan trafik, termasuk memandu melebihi had laju dan perbuatan berbahaya lain, akan didokumentasikan serta disiasat sebelum tindakan sewajarnya diambil.
Beliau menegaskan, sebarang kebenaran yang diberikan bagi aktiviti tertentu tidak boleh dianggap sebagai lesen untuk melanggar peraturan lalu lintas atau menyalahgunakan jalan awam.
“Kelulusan itu diberikan bagi memastikan kelancaran aliran trafik serta mengurangkan gangguan sepanjang acara berlangsung. Ia bukan bermaksud sesiapa diberi hak untuk melanggar undang-undang atau menggunakan jalan raya secara melulu.
“Jalan raya adalah untuk kegunaan semua pihak dan perlu digunakan secara bertanggungjawab. Ia bukan tempat untuk berkelakuan tidak bertanggungjawab atau melakukan aksi berbahaya,” jelasnya.
Beliau berkata, pendekatan penguatkuasaan itu akan dilaksanakan selaras dengan arahan kepimpinan JSPT, dengan aspek keselamatan awam terus menjadi keutamaan jabatan.
Terdahulu, di Terengganu, penganjur RXZ Members 8.0, Mohamad Faizal Mat Ali, mengumumkan perubahan slogan ‘Yang Kental Pasti Sampai’ kepada ‘Yang Santai Pasti Sampai’ sebagai usaha memastikan keselamatan peserta menjadi keutamaan serta mengelak sebarang kejadian tidak diingini sepanjang program berlangsung.
Katanya, perubahan slogan itu bukan sekadar pembaharuan, sebaliknya membawa mesej jelas kepada semua peserta supaya mengamalkan budaya tunggangan berhemah ketika dalam perjalanan ke lokasi program.
RXZ Members 8.0 dijangka menghimpunkan lebih 100,000 peminat motosikal RXZ dari seluruh negara.-UTUSAN
The post JSPT guna risikan, rakaman video pantau peserta RXZ Members 8.0 appeared first on Utusan Malaysia.






