RXZ Members 8.0 tukar slogan, kini ‘Yang Santai, Pasti Sampai’

LocalCars
27 Jul 2026 • 4:06 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Penganjur RXZ Members 8.0 memperkenalkan slogan baharu Yang Santai Pasti Sampai

Menjelang penganjuran RXZ Members 8.0 pada Jumaat ini, penganjur mengambil pendekatan berbeza apabila menukar slogan ikonik perhimpunan itu daripada ‘Yang Kental, Pasti Sampai’ kepada ‘Yang Santai, Pasti Sampai’ sebagai simbol komitmen terhadap keselamatan penunggang.

Perubahan slogan itu diumumkan bersama tanda pagar #ZeroKemalanganMaut sebagai mesej untuk menggalakkan ribuan peserta mengamalkan budaya tunggangan berhemah sepanjang perjalanan ke lokasi acara dan ketika pulang ke destinasi masing-masing.

Memetik laporan Kosmo, penganjur RXZ Members 8.0, Mohamad Faizal Mat Ali berkata, slogan baharu tersebut membawa mesej jelas supaya setiap peserta mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya.

Menurutnya, sebagai penganjur mereka mahu memastikan setiap penunggang Yamaha RXZ yang hadir dapat menyertai program itu dalam keadaan selamat tanpa berdepan sebarang insiden tidak diingini.

“Yang Santai, Pasti Sampai’ bukan sekadar slogan baharu, tetapi kita mahu menyampaikan mesej agar semua peserta lebih berhemah di jalan raya.

“Kalau boleh, kita menyasar matlamat sifar kemalangan dalam kalangan peserta RXZ Members pada kali ini.

“Apa yang penting, mereka menyertai program ini dengan selamat dan juga apabila pulang ke kampung halaman masing-masing,” katanya.

Baca juga:

Dalam pada itu, penganjur turut menyeru semua pempengaruh permotoran di Malaysia menghasilkan sekurang-kurangnya satu video nasihat berkaitan keselamatan jalan raya menjelang acara berkenaan.

Usaha memperkasakan aspek keselamatan itu dibuat susulan beberapa insiden kemalangan yang pernah dikaitkan dengan perhimpunan RXZ Members sebelum ini.

Sementara itu, bekas pelumba motosikal negara, Wazi Abdul Hamid turut menitipkan pesanan menyentuh hati kepada semua peserta agar tidak terlalu ghairah ketika menunggang.

“Pesanan daripada seorang rider kepada rider. Jomlah kita berdamai dengan takdir. Dah memang nak jalan jauh, memang syok tapi kena ingat yang ramai menanti kita nanti di rumah,” katanya.

The post RXZ Members 8.0 tukar slogan, kini ‘Yang Santai, Pasti Sampai’ appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved