
GEORGE TOWN – Seorang pengerusi sebuah agensi kerajaan yang bergelar Datuk bersama empat individu direman empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan membabitkan kes penyalahgunaan kuasa dalam urusan pelupusan tanah milik kerajaan di negeri ini.
Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Noor Idayu Salim bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Kesemua suspek yang berusia antara 40 hingga 50-an itu tiba di pekarangan Mahkamah Sesyen George Town di sini, kira-kira pukul 9 pagi tadi.
Masing-masing mereka dilihat mengenakan pakai reman berwarna jingga dengan kedua-dua tangan bergari.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima individu termasuk Pengerusi bergelar Datuk selepas dipercayai terlibat kes penyalahgunaan kuasa dalam urusan pelupusan tanah milik agensi kerajaan di Pulau Pinang.
Sumber SPRM berkata, kesemua suspek telah ditahan secara berperingkat di pejabat SPRM Pulau Pinang, kira-kira pukul 11 pagi hingga 12 tenga hari, semalam.
Menurutnya, suspek pertama iaitu Pengerusi agensi kerajaan berusia dalam lingkungan 50-an itu ditahan kerana dipercayai menyalahgunakan kedudukannya ketika itu sebagai Timbalan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah.
Suspek terbabit dikatakan telah meluluskan penjualan lapan lot tanah di Seberang Perai Selatan pada 2015 kepada sebuah syarikat yang disyaki milik sekutunya pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran yang membabitkan nilai kerugian kira-kira RM1.96 juta. – KOSMO! ONLINE
The post Jual tanah kerajaan: Datuk, empat individu direman 4 hari appeared first on Kosmo Digital.




![[VIDEO] Kedai emas di Kuantan pula kena rompak ketika solat Jumaat](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/ROMPAK-KEDAI-EMAS-KUANTAN-1024x768.jpg)

