
Nak Opt-Out LINDUNG 24 Jam? 4 Perkara Ini Mungkin Buat Anda Fikir Semula
Sejak kebelakangan ini, ramai yang sudah mula membincangkan mengenai LINDUNG 24 Jam. Ada yang memilih untuk kekal mencarum, ada juga yang masih mempertimbangkan untuk menarik diri daripada skim tersebut.
Berdasarkan dua pilihan ini, yang mana satu yang patut majoriti atau rakyat Malaysia memilih? Artikel ini akan menjelaskan beberapa pertimbangan yang perlu dibuat sebelum membuat keputusan sama ada ingin Opt Out ataupun Opt In. Sesuatu keputusan berkaitan perkara ini perlulah dibuat mengikut situasi dan keadaan diri sendiri.
Berikut merupakan empat perkara yang menjadi pertimbangan sebelum buat keputusan yang tepat:-
Aktif Bersukan Dan Banyak Melakukan Aktiviti
Cuba tengok semula gaya hidup anda. Aktif bersukan? Kerap melakukan aktiviti indoor atau outdoor? Banyak bergerak? Jika ya, mungkin anda perlu fikir semula tentang kepentingan perlindungan sepanjang masa. LINDUNG 24 Jam boleh memberi perlindungan ketika anda menjalani aktiviti harian, bukan hanya ketika bekerja.

Belum Mempunyai Insurans Atau Medical Card Sendiri
Selain daripada aktiviti yang kerap dilakukan, seseorang yang ingin membuat pilihan sama ada kekal atau keluar dari LINDUNG 24 Jam perlu pertimbangkan sama ada sudah ada insuran atau ‘medical card’ sendiri atau belum. Sekiranya tiada, dan berlaku sesuatu kemalangan, seseorang terpaksa menanggung pelbagai perkara termasuklah kos rawatan kerana belum dilindungi mana-mana skim perlindungan. Di sinilah LINDUNG 24 Jam boleh menjadi penyelamat kepada golongan seperti ini.
Banyak Bergerak Menggunakan Motosikal
Kalau dah tahu setiap hari guna motosikal, ulang-alik jauh menempuh jalan raya yang penuh kenderaan, pasti sudah tahu yang terdapat risiko yang tinggi dan bila-bila sahaja berkemungkinan terlibat dalam kemalangan. Secara jelas, menaiki motosikal memang lebih terdedah kepada risiko berbanding kereta, disebabkan itu perlu ada perlindungan diri supaya kesan selepas kemalangan dapat memberi manfaat kepada diri sendiri dan ahli keluarga terdekat.
Kalau dah tahu setiap hari guna motosikal, ulang-alik jauh menempuh jalan raya yang penuh kenderaan, pasti anda sedar akan risiko kemalangan yang tinggi . Realitinya, menunggang motosikal memang lebih terdedah kepada risiko berbanding kereta, disebabkan itu, anda perlu ada perlindungan diri supaya kesan selepas kemalangan dapat memberi manfaat kepada diri sendiri dan ahli keluarga terdekat
Simpanan Kecemasan Belum Kukuh
Satu perkara yang perlu difikirkan lagi adalah keadaan simpanan kecemasan. Jika dah tahu simpanan kewangan yang ada ketika ini pun cukup-cukup makan, macam mana kalau berlaku kejadian tak tersangka dan perlukan kos yang tinggi? Persoalan inilah yang boleh dijadikan asas kepada pertimbangan supaya kekal dalam skim yang ditawarkan oleh PERKESO.

Buat Pilihan Tepat dan Lebih Banyak Manfaat
Setiap orang mempunyai keadaan dan kemampuan yang berbeza, disebabkan itu jugalah keputusan untuk kekal atau keluar daripada LINDUNG 24 Jam juga tidak semestinya sama bagi semua orang. Namun, jika sudah memenuhi pertimbangan di atas dan juga memilih kepada yang membawa lebih banyak manfaat, pilihan untuk kekal sepatutnya lah yang dibuat.
LINDUNG 24 Jam diperkenalkan supaya dapat melindungi pencarum selama 24 jam dan terutamanya di luar waktu kerja. Ini kerana risiko kemalangan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa, jadi usaha yang kita boleh buat adalah sentiasa bersedia.





