sarah06/11/2026 - 11:19 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Nov - Jualan besar-besaran 11.11 berisiko menjadi lubuk penipuan dalam talian apabila sindiket mengambil kesempatan terhadap pembeli yang tergesa-gesa mendapatkan tawaran murah, sedangkan hanya 4% pengguna Malaysia yang ditinjau yakin telefon bimbit mereka sangat selamat daripada ancaman penipu dan penggodam.
Menurut platform kekayaan digital Versa, tinjauan terhadap 1,022 pengguna aplikasinya mendapati 78% pernah berdepan cubaan penipuan dalam tempoh dua tahun, sama ada secara langsung atau melalui kenalan rapat, manakala 72% daripada kumpulan itu menyatakan penipu mula menghubungi mereka menerusi telefon bimbit.
Versa berkata, panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) merupakan saluran paling kerap digunakan untuk memulakan penipuan, iaitu sebanyak 80%, diikuti aplikasi pemesejan pada 76%, sekali gus meningkatkan risiko kepada pengguna yang aktif membeli-belah menerusi telefon pintar.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Versa, Teoh Wei Xiang berkata, sindiket sering memperdaya pembeli menggunakan pautan pembayaran palsu, pemberitahuan penghantaran tidak wujud serta tawaran jualan kilat yang mewujudkan tekanan supaya transaksi dilakukan segera.
"Rakyat Malaysia mengambil masa berbulan-bulan menyimpan dan berbelanja secara berhemah untuk membina dana kecemasan atau simpanan cuti sebanyak RM1,000, tetapi pautan pembayaran palsu mampu menghabiskannya dalam masa beberapa saat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kerugian penipuan dalam talian hampir RM3 bilion
Berdasarkan statistik polis yang dipetik Versa, Malaysia merekodkan lebih 66,000 kes jenayah dalam talian sepanjang 2025 dengan kerugian mencecah RM2.97 bilion, manakala 16,880 kes penipuan direkodkan pada suku pertama 2026 sahaja, membabitkan kerugian melebihi RM555.7 juta.
Daripada jumlah kes pada suku pertama tahun ini, sebanyak 4,858 melibatkan penipuan e-dagang, sementara penipuan menggunakan kod respons pantas (QR) mencatatkan 5,134 kes dengan kerugian RM28.67 juta sepanjang separuh pertama 2026.
Pembeli diingatkan semak sebelum membuat pembayaran
Wei Xiang mengingatkan pengguna supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran murah atau desakan membuat pembayaran segera, sebaliknya menyemak akaun penerima melalui portal Semak Mule milik Polis Diraja Malaysia, mengelakkan transaksi di luar platform e-dagang rasmi serta tidak berkongsi kod pengesahan sekali guna (OTP) atau maklumat perbankan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhenti seketika sebelum membuat pembayaran bagi memastikan wang disalurkan kepada penerima yang sah, manakala pengguna yang mengesyaki transaksi penipuan perlu segera menghubungi bank dan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997. - DagangNews.com






