RM1.2 Bilion Lesap Akibat ‘Scam’, Hanya RM14.3 Juta Berjaya Diselamat 

LocalBusiness & Finance
27 Oct 2026 • 7:52 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

RM1.2 Bilion Lesap Akibat ‘Scam’, Hanya RM14.3 Juta Berjaya Diselamat 

KUALA LUMPUR - Sebanyak RM1.2 bilion kerugian dilaporkan akibat penipuan dalam talian sejak Oktober 2022 hingga Ogos tahun ini, namun hanya RM14.3 juta berjaya diperoleh semula sehingga September.

Angka itu menunjukkan betapa sukarnya usaha mendapatkan kembali wang yang telah dipindahkan kepada pihak tidak bertanggungjawab, meskipun pelbagai tindakan segera dilaksanakan bagi menyekat aliran dana daripada terus disalurkan ke akaun lain.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) mengambil tindakan berdasarkan aduan mangsa, termasuk menyekat transaksi ke akaun bank yang disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti penipuan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan jumlah wang yang berjaya diperoleh semula masih belum memadai berbanding nilai kerugian ditanggung mangsa.

“Adakah kita berpuas hati dengan keadaan ini? Jawapannya tidak kerana kerugian akibat penipuan dalam talian masih tinggi,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 bagi Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Saifuddin, talian hotline NSRC 997 menerima 468,675 panggilan antara 12 Oktober 2022 hingga Ogos tahun ini, melibatkan laporan kerugian berjumlah RM1.2 bilion.

Dalam perkembangan berkaitan, polis mempergiat usaha membongkar rangkaian sindiket penipuan dalam talian menerusi risikan dan operasi penguatkuasaan. 

Sebanyak 968 serbuan dilakukan dari 2024 hingga September tahun ini, membawa kepada penahanan 7,262 individu.

Daripada jumlah itu, 2,912 individu dikenal pasti pernah bekerja atau menetap di Kemboja, berdasarkan hasil pemprofilan yang dijalankan pihak berkuasa.

Saifuddin berkata, maklumat berkenaan akan dimanfaatkan bagi mempertingkat pemantauan terhadap kegiatan jenayah rentas sempadan. 

“Kerjasama dengan agensi penguatkuasaan luar negara turut diperkukuh melalui Interpol, Aseanapol serta hubungan dua hala antara pasukan polis.

“Usaha membanteras kegiatan tersebut turut memberi tumpuan kepada pusat panggilan penipuan yang dipercayai menjadi pangkalan operasi sindiket jenayah terancang di Malaysia,” katanya. 

Bagi tempoh 2023 hingga Ogos tahun ini, pihak polis menahan individu daripada pelbagai peringkat dalam rangkaian berkenaan, termasuk 36 individu yang disyaki menjadi dalang utama, 74 pengurus dan 165 penyelia.

Turut ditahan ialah 118 individu yang menguruskan hal kewangan serta akaun keldai, 18 petugas komunikasi, 132 pengatur cara teknologi maklumat, 8,500 operator dan 157 pekerja am.

Menurut Saifuddin, tindakan penguatkuasaan tidak terhad kepada individu yang mengendalikan panggilan penipuan semata-mata, sebaliknya merangkumi pihak yang menguruskan operasi, sistem teknikal, komunikasi dan aliran kewangan sindiket.

Secara keseluruhan, sebanyak 61,363 operasi dijalankan dalam tempoh berkenaan. Polis merekodkan 18,393 tangkapan pada 2023, diikuti 12,278 pada 2024 dan 23,753 pada 2025.

Bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini pula, sebanyak 16,740 tangkapan direkodkan.

Saifuddin berkata, jumlah tersebut mencerminkan skala kegiatan penipuan yang semakin meluas serta ancaman jenayah berkenaan terhadap masyarakat. - Getaran, 27 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved