Jualan cip global cecah RM241.18 bilion pada Mac 2025, kata TA Securities

14/05/2025 - 11:59
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 14 Mei - Jualan cip semikonduktor global terus menunjukkan perkembangan positif apabila mencecah RM241.18 bilion pada Mac 2025, dipacu oleh teknologi kecerdasan buatan (AI), rangkaian 5G dan penghasilan kenderaan elektrik (EV).
Menurut firma penyelidikan TA Securities, pertumbuhan positif itu berlaku selama 17 bulan berturut-turut, disumbang oleh semua rantau kecuali Eropah, dengan Amerika Syarikat (AS) mencatat pertumbuhan tertinggi, diikuti Asia Pasifik, China dan Jepun.
Katanya yang memetik Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia, pasaran bahan semikonduktor global meningkat sebanyak 3.8% tahun ke tahun, kepada RM291.23 bilion pada tahun 2024, didorong oleh permintaan tinggi terhadap bahan canggih untuk komputasi berprestasi tinggi dan memori berjalur lebar.
Selain itu, TA Securities memaklumkan, langkah pentadbiran Presiden AS, Donald Trump yang bercadang untuk membatalkan atau mengubah peraturan lama yang mengehadkan eksport cip AI canggih, adalah satu perkembangan positif.
"Kami melihat ini sebagai peluang baik kerana ia boleh memberi akses yang lebih besar kepada Malaysia terhadap teknologi canggih, terutamanya dalam industri penting seperti pusat data," katanya dalam laporan terbaharunya.
Firma penyelidikan itu juga berkata, jika kawalan eksport dilonggarkan, ia mungkin menarik lebih banyak pelaburan asing dan kerjasama teknologi yang boleh membantu Malaysia menjadi lebih penting dalam rantaian bekalan semikonduktor dunia.
TA Securities turut menjelaskan, ketegangan perdagangan antara AS dan China boleh membawa lebih banyak peluang perniagaan ke Malaysia melalui strategi 'China Plus One'.
Sementara itu, kerajaan baru-baru ini mengumumkan syarat kelayakan untuk syarikat tempatan yang mahu terlibat dalam program reka cip canggih hasil kerjasama dengan syarikat UK, Arm Holdings Plc.
TA Securities menyambut baik langkah berkenaan kerana ia boleh membantu syarikat tempatan meningkatkan peranan dan sumbangan dalam industri semikonduktor dunia.
Ia juga kekal positif terhadap sektor tersebut dan mencadangkan pelabur untuk membeli saham beberapa syarikat tempatan seperti Inari Amertron Bhd, Unisem (M) Bhd, Malaysian Pacific Industries Bhd dan Elsoft Research Bhd. - DagangNews.com
standard

