Loji IBS milik IJM diiktiraf SIRIM, perkukuh usaha kelestarian syarikat - CIMB Securities

14/05/2025 - 14:45
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 14 Mei - Loji Sistem Binaan Berindustri (IBS) milik IJM Corporation Bhd di Bestari Jaya, disahkan beroperasi mengikut piawaian ISO 14064-1:2018 pada FY24 oleh SIRIM Bhd, sekali gus mencerminkan matlamat kelestarian syarikat.
CIMB Securities berkata, ia berdasarkan data pelepasan gas rumah hijau IJM, yang turut memperkenalkan R20, iaitu strategi iklim syarikat yang merangkumi langkah pengurangan dan penyesuaian terhadap perubahan iklim.
"Syarikat antara lain turut menggantikan 13 peratus kandungan simen dengan bahan bukan simen pada tahun lalu," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu menyatakan, strategi kelestarian IJM berasaskan empat perkara utama yang selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menunjukkan syarikat komited kepada pembangunan yang bertanggungjawab dan mementingkan masa depan.
Sehubungan itu, CIMB Securities mengekalkan saranan 'beli' bagi saham IJM dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM3.26, berdasarkan sumbangan besar loji berkenaan terhadap matlamat komersial dan kelestarian syarikat.
Loji IBS pintar IJM mula beroperasi pada awal 2022 menggunakan teknologi robotik untuk menghasilkan komponen binaan pracetak.
Ia dikendalikan sepenuhnya oleh IJM IBS, anak syarikat IJM yang juga menghasilkan bahan binaan seperti cerucuk konkrit, bahan kuari, konkrit siap bancuh dan sistem perancah.
Loji tersebut mampu menghasilkan pelbagai jenis produk konkrit pracetak seperti panel dinding bermotif, tiang dan rasuk.
Dengan kemampuan menghasilkan komponen binaan secara besar-besaran dan mengikut keperluan, IBS pintar IJM membantu mempercepat proses pembinaan secara lebih lestari.
Ia juga menyokong projek-projek teknologi tinggi syarikat seperti pusat data. - DagangNews.com
standard

