Jualan hartanah IOI Properties diunjur mendatar pada FY24 ekoran pelancaran projek Marina View Residences ditangguh – MIDF Research
diyana
29/02/2024 - 09:40
KUALA LUMPUR 29 Feb - Jualan hartanah IOI Properties Group Berhad bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (FY24) diunjur mendatar berikutan penangguhan pelancaran projek Marina View Residences di Singapura kerana perubahan rancangan, kata MIDF Research.
Pada separuh pertama tahun kewangan 2024 (1HFY24), syarikat pemaju hartanah itu mencatat jualan hartanah berjumlah RM804 juta.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangkakan jualan hartana kumpulan itu mendatar pada FY24 berbanding RM1.96 bilion yang dicapainya tahun sebelumnya kerana penangguhan projek tersebut.
Sementara itu, jualan belum dibil meningkat kepada RM722 juta pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24) daripada RM509 juta pada suku sebelumnya.
Di samping itu, MIDF Research turut mengambil kira sumbangan pendapatan yang lebih lemah daripada projek di China yang menyebabkan keuntungan bersih kumpulan pada 1HFY23 berjumlah RM295.6 juta.
Firma itu berkata, jumlah tersebut berada di bawah anggaran dengan meliputi hanya 42% dan 39% daripada anggaran tahun penuh firma dan konsensus..
“Kelemahan pendapatan berpunca daripada sumbangan pendapatan yang lebih rendah daripada projek di China berikutan persekitaran pasaran hartanah yang lebih lemah di China.
“Selain itu, pendapatan juga lebih rendah disebabkan oleh sumbangan yang lebih lemah daripada usaha samanya di Singapura,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Pada asas tahunan, MIDF Research berkata pendapatan bersih teras 2QFY24 lebih rendah 42.6%, menjadikan pendapatan bersih teras 1HFY24 merosot 28.2% kepada RM295.6 juta ekoran kelemahan bahagian pembangunan hartanah.
Namun begitu, katanya, penurunan pendapatan sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan prestasi bahagian pelaburan hartanah yang disokong oleh sumbangan sewa daripada IOI City Mall Fasa 2.
“Kami menyemak unjuran pendapatan untuk FY24, FY25 dan FY26 sebanyak 9%, 17% dan 13% kerana kami mengambil kira sumbangan yang lebih lemah daripada projek luar negara.
“Namun begitu, kami melihat prospek jangka panjang yang positif untuk IOI Properties yang akan didorong oleh pelancaran Marina View Residences. Selain itu, potensi penyenaraian hartanah pelaburannya akan membuka kunci nilai hartanah pelaburannya,” tambahnya.
MIDF Research menurunkan taraf saranan IOI Properties kepada ‘neutral’ daripada ‘beli’ memandangkan kenaikan adalah terhad berikutan kenaikan harga saham baru-baru ini, namun ia mengekalkan harga sasaran (TP) pada RM2.15 sesaham.
Saham IOI Properties aktif didagangkan pagi ini dengan sejumlah 3.4 juta saham bertukar tangan dan menyusut 16 sen atau 7.1% kepada RM2.11 setakat pukul 9:39 pagi ini. - DagangNews.com


