Jualan hartanah KSL cecah RM1.6 bilion dalam sembilan bulan, atasi pencapaian sepanjang 2025

23 Nov 2026 • 5:47 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jualan hartanah KSL cecah RM1.6 bilion dalam sembilan bulan, atasi pencapaian sepanjang 2025 Image from: Jualan hartanah KSL cecah RM1.6 bilion dalam sembilan bulan, atasi pencapaian sepanjang 2025 sarah23/11/2026 - 17:47 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Nov - KSL Holdings Berhad mencatatkan jualan hartanah baharu sebanyak RM1.6 bilion bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2026, mengatasi jumlah jualan RM1.35 bilion yang dicatatkan sepanjang tahun kewangan 2025.

 

Pencapaian itu menyaksikan pemaju hartanah berpangkalan di Johor berkenaan mencapai 80% daripada sasaran jualan RM2 bilion bagi tahun kewangan 2026, disokong permintaan berterusan terhadap projek perbandarannya.

 

Menurut kenyataan media hari ini, jualan hartanah yang belum dibil turut meningkat kepada RM1.5 bilion setakat 30 September 2026 berbanding RM850 juta pada akhir 2025, sekali gus dijangka menyokong pendapatan kumpulan sehingga 2028.

 

Pengarah Eksekutif KSL Holdings, Khoo Lee Feng berkata, pencapaian jualan yang mengatasi jumlah keseluruhan tahun lalu mencerminkan permintaan yang kekal kukuh terhadap pembangunan perbandaran kumpulan.

 

"Kami terus mencatatkan prestasi kukuh bagi sembilan bulan pertama 2026 dan berjaya mengatasi pencapaian jualan sepanjang tahun kewangan 2025, sekali gus membuktikan permintaan yang sihat terhadap projek perbandaran kami," katanya.

 

KSL

 

Projek Riveria Garden mendapat sambutan penuh

Dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026, KSL melancarkan projek baharu bernilai RM2.3 bilion, termasuk pembangunan perbandaran Riveria Garden di Iskandar Puteri, Johor.

 

Pelancaran awal Riveria Garden mencatatkan pengambilan penuh bagi kawasan kediaman Aluna dan kawasan komersial Riverpoint, manakala fasa kediaman berikutnya, Elora dan Riverhaus, turut menerima sambutan positif daripada pasaran.

 

Kumpulan merancang melancarkan fasa tambahan Riveria Garden serta pembangunan perbandaran baharu Bestari Alma di Johor dalam beberapa suku akan datang, selain meneroka peluang daripada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link.

 

Keuntungan bersih meningkat kepada RM286 juta

Sementara itu, keuntungan bersih KSL bagi sembilan bulan pertama 2026 meningkat 6.9% kepada RM286 juta daripada RM267.6 juta setahun sebelumnya, manakala pendapatan bertambah 11.2% kepada RM1.07 bilion daripada RM965.8 juta.

 

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, keuntungan bersih kumpulan meningkat 3% kepada RM104.9 juta daripada RM101.9 juta, sementara pendapatan berkembang 14.5% kepada RM405.9 juta berbanding RM354.6 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

Pertumbuhan itu dipacu segmen pembangunan hartanah yang mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 16.6% kepada RM337.1 juta, disokong sumbangan segmen pelaburan hartanah sebanyak RM68.4 juta.

 

KSL kini mempunyai simpanan tanah melebihi 4,000 ekar yang dijangka menyokong pembangunan masa depan, khususnya di Johor yang mendapat manfaat daripada pertumbuhan aktiviti ekonomi rentas sempadan dengan Singapura. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved