sarah20/11/2026 - 18:16 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Nov - Pesona Metro Holdings Bhd (Pesona Metro) mencatatkan lonjakan 54% dalam hasil pembangunan hartanah kepada RM87.9 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, menyumbang 40% daripada keseluruhan hasil kumpulan, ketika buku tempahan pembinaannya kekal kukuh pada RM2 bilion.
Pertumbuhan itu didorong peningkatan kemajuan kerja pembinaan dan jualan anak syarikatnya, Gaya Kuasa Sdn Bhd, berbanding hasil RM56.9 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu, sekali gus memperlihatkan peranan semakin penting pembangunan hartanah dalam perniagaan kumpulan.
Segmen pembinaan bagaimanapun kekal sebagai penyumbang terbesar dengan hasil RM125.4 juta atau 57% daripada keseluruhan hasil, manakala segmen konsesi dan penyelenggaraan aset menyumbang RM5.7 juta atau 3%.
Buku tempahan RM2 bilion sokong pertumbuhan
Pengarah Urusannya, Wie Hock Beng berkata, buku tempahan pembinaan bernilai RM2 bilion melibatkan tujuh projek yang sedang dilaksanakan memberikan asas pendapatan yang kukuh kepada kumpulan, selain usaha berterusan mendapatkan projek baharu dalam sektor awam dan swasta.
“Selain prestasi kewangan, kami kekal komited untuk mengembangkan perniagaan pembangunan hartanah merangkumi pelbagai segmen pasaran, dengan perumahan mampu milik terus menjadi sebahagian penting daripada strategi kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, projek utama kumpulan, REN Residensi, dengan nilai pembangunan kasar kira-kira RM810 juta, terus menunjukkan kemajuan, manakala pendapatan berulang daripada konsesi asrama pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sehingga 2036 turut menyokong kedudukan kewangan syarikat.
Keuntungan sembilan bulan atasi keseluruhan 2025
Bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2026, keuntungan selepas cukai yang boleh diagihkan kepada pemegang saham Pesona Metro meningkat 51% kepada RM41.9 juta daripada RM27.7 juta, sekali gus mengatasi keuntungan RM39.2 juta yang dicatatkan bagi keseluruhan tahun kewangan 2025.
Dalam tempoh sama, hasil kumpulan meningkat 28% kepada RM666.8 juta berbanding RM519.2 juta setahun sebelumnya, manakala keuntungan sebelum cukai melonjak 104% kepada RM88 juta daripada RM43.2 juta.
Bagi suku ketiga 2026, hasil meningkat 11% kepada RM218.9 juta berbanding RM197.5 juta setahun lalu, sementara keuntungan sebelum cukai melonjak 80% kepada RM34.2 juta dan keuntungan selepas cukai yang boleh diagihkan kepada pemegang saham meningkat 42% kepada RM15.5 juta.
Hock Beng berkata, peningkatan margin projek pembinaan serta sumbangan lebih kukuh daripada Gaya Kuasa membolehkan keuntungan sebelum cukai terus berkembang 10% berbanding suku sebelumnya, meskipun hasil suku tahunan menyusut susulan penyiapan sebuah projek pembinaan. - DagangNews.com






