Jualan kediaman di Semenanjung Malaysia melonjak hampir empat kali ganda pada separuh pertama 2023 – Rehda
diyana
17/08/2023 - 16:18
KUALA LUMPUR 17 Ogos - Jualan kediaman di Semenanjung Malaysia melonjak hampir empat kali ganda kepada 11,273 unit pada separuh pertama 2023 (1H23), daripada 3,163 unit pada 1H22, menurut tinjauan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Malaysia.
Pelancaran kediaman di Semenanjung Malaysia juga meningkat dua kali ganda kepada 14,392 unit pada 1H23, daripada 7,350 unit pada 1H22, di mana sejumlah 3,945 unit atau 35% daripadanya telah dijual.
Presiden Rehda, Datuk NK Tong, yang membentangkan data berkenaan, berkata kebanyakan pelancaran baharu itu terdiri daripada pangsapuri dan kondominium sebanyak 7,183 unit, diikuti rumah teres dua hingga tiga tingkat (3,729 unit) dan kediaman servis (1,223 unit).
"Pelancaran kediaman dan prestasi jualan meningkat pada 1H23, dijual antara RM300,001 dan RM500,000, dengan kediaman berservis dan pangsapuri/kondominium mendahului," kata Tong pada taklimat media.
Menurut beliau, pangsapuri dan kondominium mencatatkan jualan terbaik dengan3,749 unit, diikuti kediaman servis (3,688 unit) dan rumah teres dua hingga tiga tingkat (2,040 unit).
Tinjauan Rehda terhadap 148 pemaju hartanah turut mendapati bahawa sejumlah 53% responden melaporkan terdapat unit kediaman siap yang tidak terjual setakat 30 Jun, dengan 47% daripadanya telah siap dalam tempoh sehingga 12 bulan lalu, manakala 31% melebihi 36 bulan.

Tong berkata tiga sebab utama unit siap tidak terjual adalah disebabkan pinjaman pembiayaan akhir ditolak, lot Bumiputera belum dikeluarkan dan harga yang tinggi.
Bagaimanapun, kira-kira 53% responden merancang pelancaran projek mereka pada 2H23, dengan tiga perempat daripada mereka menyasarkan untuk mencapai jualan sehingga 50%, enam bulan selepas pelancaran.
"Kebanyakan pelancaran yang dirancang ini berharga antara RM150,001 dan RM300,000, khususnya di negeri Kedah, Perlis, Melaka, Pahang, Pulau Pinang dan Perak," katanya.
Sementara itu, kebanyakan responden ‘neutral’ terhadap prospek industri perniagaan dan hartanah untuk tahun akan datang, dengan peningkatan keyakinan untuk 1H24, menurut The Edge memetik Tong sebagai sumber.
“Peningkatan jumlah pelancaran dan jualan adalah petanda positif ke arah pasaran hartanah yang perlahan-lahan kembali normal.
“Bagaimanapun, pemulihan sebenar masih tidak dapat dicapai kerana pemaju masih bergelut dengan cabaran yang masih belum ditangani dengan sewajarnya seperti kenaikan harga bahan, subsidi silang, serta kos pematuhan dan utiliti yang tinggi,” katanya. - DagangNews.com


