Jualan kenderaan Malaysia merosot 5% kepada 70,057 unit pada Julai - MAA

19/08/2025 - 17:00
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 19 Ogos – Jualan kenderaan di Malaysia merosot 5% kepada 70,057 unit pada Julai, berbanding 73,501 unit pada bulan yang sama tahun lepas, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
Persatuan itu berkata, jualan kenderaan penumpang pula turun 4% peratus kepada 64,438 unit daripada 67,473 unit setahun sebelumnya, manakala jualan kenderaan komersial susut 7% kepada 5,619 unit berbanding 6,028 unit pada Julai 2024.
“Bagi tempoh Januari sehingga Julai tahun ini, jumlah jualan menurun 5% kepada 443,777 unit daripada 464,952 unit pada tempoh yang sama tahun lepas.
“Jualan kenderaan penumpang mencatatkan penurunan sedikit kepada 411,522 unit, manakala kenderaan komersial menyaksikan penurunan lebih ketara iaitu 19% kepada 32,255 unit,” kata MAA.
Dari segi pengeluaran, MAA memaklumkan jumlahnya meningkat 1% kepada 71,439 unit berbanding 70,842 unit pada Julai 2024.
“Pengeluaran kenderaan penumpang juga meningkat 1% kepada 67,075 unit, manakala pengeluaran kenderaan komersial naik 2% kepada 4,364 unit.
“Jumlah pengeluaran industri pula secara keseluruhannya adalah 28% lebih tinggi berbanding Jun 2025, dipacu oleh jumlah hari bekerja penuh bulan ini iaitu 23 hari berbanding 19 hari pada Jun, serta asas pengeluaran yang lebih rendah pada Jun akibat penutupan sempena cuti Hari Raya Aidiladha,” kata MAA.
Persatuan itu menjangkakan momentum jualan pada Julai akan berterusan ke bulan Ogos.
Sokongan akan datang daripada ketersediaan stok yang lebih kukuh hasil pengeluaran tinggi pada Julai sebanyak 71,439 unit, promosi agresif sempena bulan Merdeka, serta kesan positif pelancaran model baharu. - DagangNews.com
standard




